PRN Johor: Amanah, DAP Beri Muda 6 Kerusi

JOHOR BAHRU: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) hanya diperuntukkan enam kerusi, hasil rundingan bersama antara parti itu, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP Johor.

Dalam kenyataan bersama antara Amanah, DAP dan Muda, keputusan itu berjaya dicapai selepas beberapa siri rundingan untuk pengagihan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Selepas beberapa siri mesyuarat dan perbincangan pelbagai hala dilakukan, keputusan rundingan rasmi antara semua parti ini sebulat suara dimuktamadkan bagi pengagihan kerusi untuk Muda.

“Kesepakatan antara tiga parti membawa keputusan muktamad Muda diperuntukan enam kerusi di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai,” kata kenyataan bersama berkenaan seperti dilaporkan Harian Metro, hari ini.

Sebelum ini, Muda dilaporkan perlu mengemukakan dahulu senarai 10 kerusi yang akan ditandingi dalam PRN Johor, sebelum keputusan muktamad mengenainya dibuat.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dahulu selepas menerima senarai berkenaan daripada Muda.

Dalam pada itu, kenyataan bersama itu turut memaklumkan rundingan antara Muda dan PKR sedang diteruskan demi kesepaduan menghadapi PRN Johor.

“Rundingan rasmi yang berakhir petang ini juga bersetuju dengan tiga matlamat utama terutama dalam memastikan tidak ada pertindihan kerusi antara calon Amanah, DAP dan Muda di setiap kawasan.

“Ketiga-tiga parti juga akan menumpukan usaha dan tenaga kerja jentera untuk memenangi setiap calon selain bersama-sama menubuhkan kerajaan Johor demi membantu rakyat mencapai impian mereka,” kata kenyataan berkenaan.