Vivian Umpama Adik Bongsu Kami, Apa Salah Dia Bersihkan Kubur Bonda

8960
Zamri (baju merah) tampil mempertahankan tindakan Vivian membersihkan kubur bondanya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sim-Sim.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
SANDAKAN: Anak kepada pasangan Allahyarham Othman Awang Besar dan Salamah Abdul Rasid tampil mempersoalkan tindakan orang ramai yang mengutuk usaha murni calon DAP, Vivian Wong membersihkan kubur kedua ibu bapanya itu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sim-Sim semalam.

Zamri Othman berkata, keluarganya mempunyai hubungan yang baik dengan keluarga mendiang Datuk Stephen Wong, justeru Vivian sendiri telah dianggap sebagai adik bongsu dalam keluarganya.

Sehubungan itu katanya, keluarganya amat berbesar hati apabila Vivian, 30, hadir dalam program gotong-royong itu malah beliau sendiri telah membersihkan kubur Allahyarham Salamah yang meninggal dunia tahun lalu.

“Dalam Islam, kita tidak boleh menghalang sesiapa datang ziarah kubur kecuali kalau dia mahu buat benda tidak senonoh jadi saya minta kawan-kawan berhentilah berkata nista.

“Kami sekeluarga telah menganggap Vivian sebagai adik bongsu kami dan kami akan pastikan beliau menang,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Menurut Zamri, gambar yang tersebar di media sosial menunjukkan Vivian membersihkan kubur adalah milik Allahyarham ibunya yang terletak bersebelahan kubur bapanya.

Gambar berkenaan bagaimanapun disalah erti sebagai gimik politik DAP untuk menarik sokongan pengundi Islam sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan.

Kata Zamri, ayahnya yang telah meninggal 20 tahun lalu mempunyai jasa besar di kampung itu iaitu membina sebuah masjid yang terdapat di tanah perkuburan itu.

Mengulas lanjut tentang kehadiran Vivian di situ, Zamri yang juga ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, gotong-rotong berkenaan telah dimulakan sejak empat tahun lalu oleh Stephen setiap kali penghujung bulan Syaaban.

“Cuma kebetulan calon datang, jadi bila calon datang saya nyatakan masjid di situ adalah peninggalan ayah saya, makam ini milik ayah saya dan disebelahnya ibu saya.

“Beliau datang membersihkan kubur jadi kami menyantuni mereka kemudian Vivian duduk di situ bersihkan kubur ibu saya, beliau mungkin rasa terharu kerana baru bulan lalu merasai sendiri kehilangan orang kesayangan,” kata Zamri.

Sementara itu, Vivian dalam sidang akhbar sama berkata, beliau tidak mempunyai niat untuk menimbulkan pertelingkahan membabitkan perbuatanya kerana hasratnya adalah semata-mata untuk menjaga kebersihan kubur dan kesihatan.

“Saya tidak berhasrat cetus pertelingkahan, saya cuma teruskan hasrat mendiang bapa saya kerana beliau selalu hadir gotong-royong bersihkan kubur.

“Saya tidak mahu cetuskan pertelingkahan, hasrat saya cuma untuk jaga kebersihan dan kesihatan di kawasan itu,” katanya.

BERITA BERKAITAN :-

Bersih Perkuburan Amalan Biasa Mendiang Stephen Bukan Gimik