PRK Sandakan: Usia Bukan Penghalang Tunai Kewajipan Mengundi

349
Saripah Sarisah dari Kampung Ramai-Ramai.

SANDAKAN: Berusia dan sakit kaki tidak menghalang seorang wanita berusia 90 tahun menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan, Sabtu.

Saripah Sarisah dari Kampung Ramai-Ramai berkata tua dan tidak kuat berjalan bukan alasan untuk tidak mengundi kerana hak rakyat untuk memilih wakil rakyat Sandakan

“Saya tidak pernah sekali pun terlepas pergi mengundi kerana ini peluang lima tahun sekali dan nenek gembira dapat melalui pengalaman mengundi,” katanya ketika ditemui Bernama di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Tanjung Papat 1 dan 2 di sini.

Saripah yang tiba di pusat mengundi pada 8 pagi itu berkata dia ke pusat mengundi berkenaan dengan menaiki bas bersama anak perempuannya dan terpaksa berjalan kaki sedikit apabila bas tidak dapat berhenti di depan pagar pusat mengundi kerana laluan jalan raya yang sesak.

“Naik bas atau jalan kaki sikit saja, nenek tidak kisah kerana mahu mengundi parti kesayangan nenek,” katanya.

ADUN Karamunting, George Hiew bersama isterinya.

Peratusan yang keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan sehingga 12 tengah hari tadi adalah 32 peratus setelah kesemua 19 pusat mengundi dengan 90 saluran dibuka pada 7.30 pagi tadi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah antara yang meninjau proses pengundian di beberapa pusat mengundi seperti Sekolah Menengah Yu Yuan dan Sekolah Kebangsaan Sri Tanjung Papat 1 dan 2.

Calon-calon yang mengundi pagi tadi ialah calon DAP Vivian Wong Shir Yee, calon Bebas Chia Siew Yung dan calon Bebas Sulaiman Abdul Samat.

Proses pengundian berjalan sehingga 5 petang ini melibatkan 39,684 pemilih berdaftar, yang SPR menyasarkan 70 peratus daripada jumlah itu akan keluar mengundi.

Sepanjang pagi tadi cuaca baik, namun Jabatan Meteorologi meramalkan ribut petir di beberapa tempat di Sandakan pada sebelah petang nanti.