
Oleh SURAIDAH ROSLAN
SANDAKAN: Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) akan menggerakkan jentera pilihan rayanya akan membantu calon DAP Vivian Wong berkempen dalam pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan.
Naib Presiden Upko Datuk Ewon Benedick berkata, Upko akan bekerjasama dengan parti-parti kerajaan lain iaitu Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Warisan Sabah (Warisan), PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk memastikan kemenangan berpihak kepada calon DAP.
“Kepimpinan tertinggi parti bersama pemimpin Upko Bahagian Libaran, Beluran dan Sandakan menghadiri penamaan calon pada hari ini bersama para pemimpin parti-parti lain dan ratusan penyokong berarak dari Industri Ringan BDC menuju ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua untuk menyemarakkan lagi semangat dan sokongan padu kepada Vivian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Sabtu.
Menteri Pembangunan Luar Bandar ini berkata, Upko mempunyai lebih 600 ahli yang mengundi di Sandakan terdiri daripada ahli-ahli di Bahagian Libaran, Sandakan, Beluran dan Kinabatangan.
Terdahulu pada pagi Sabtu, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal mengetuai barisan ratusan penyokong Vivian berarak mengiringi calon berkenaan ke Pusat Penamaan Calon sebagai tanda sokongan.
Turut berarak bersama Vivian adalah Presiden Upko Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Penasihat DAP Lim Kit Siang; Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan pemimpin-pemimpin Pusat serta negeri.