PRK Sandakan Tewas PRU14, PBS Letak Linda di PRK Sandakan

Pimpinan PBS diketuai Maximus Ongkili akan mencabar DAP dalam PRK Sandakan.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
SANDAKAN: Parti Bersatu Sabah (PBS) akan mempertaruhkan Naib Presidennya, Datuk Linda Tsen Thau Lin untuk mencabar DAP dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan 11 Mei ini.

Linda merupakan calon Barisan Nasional (BN) yang tewas di Parlimen Batu Sapi dalam pilihan raya umum tahun lalu.

Pengumuman tersebut dibuat Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili di pusat operadi PBS Jalan Grandview petang ini.

Linda Tsen Thau Lin

Maximus berkata, PBS yakin pencalonan Linda mampu memberi kemenangan kepada parti memandangkan beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam politik dan pembangunan Sandakan.

“Bukan sahaja kita memerlukan seseorang yang berpengalaman tapi juga mempunyai rekod perkhidmatan yang baik,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya tentang peluangnya berdepan dengan calon DAP, Vivian Wong, Linda berkata beliau akan bekerja keras.

“Saya akan bekerja keras. Saya ucapkan semoga berjaya kepadanya,” kata Linda.

Linda yang merupakan guru muzik mula menceburi bidang politik apabila dipilih menjadi calon dalam PRK Parlimen Batu Sapi pada 2010.

Beliau memenangi PRK berkenaan dan menggantikan suaminya, Datuk Edmund Chong sebagai wakil rakyat selepas beliau meninggal dunia dalam kemalangan di Kota Kinabalu.