PRK Sandakan: SPR Keluarkan 177 Kertas Undi Pos

308

Oleh SURAIDAH ROSLAN
SANDAKAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan sebanyak 177 kertas undi pos bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, di sini pada Ahad.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata, pengeluaran kertas undi pos bermula pada 11 pagi dan dijalankan oleh Petugas Pilihan Raya di Dewan Persidangan Wisma Perbandaran Sandakan.

Beliau berkata, kertas undi pos itu dikeluarkan kepada lima Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara yang terdiri daripada penjawat awam yang berkhidmat di luar negara dan pasangannya serta pelajar sepenuh masa di luar negara dan pasangannya di New Zealand, Nepal dan Korea Selatan.

Kertas undi pos itu juga dikeluarkan kepada 172 orang pengundi yang terdiri daripada petugas pilihan raya (Borang 1A).

Azhar Azizan Harun

Menurutnya, tiada permohonan diterima bagi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan kategori Borang 1C (anggota petugas kesihatan dan keselamatan yang dibenarkan).

“Proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran wakil-wakil calon daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan wakil calon Bebas.

“SPR juga telah menjemput pemerhati-pemerhati pilihan raya yang dilantik untuk menyaksikan proses pengeluaran kertas undi pos itu. Pemerhati daripada Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Institut Darul Ehsan (IDE) turut hadir semasa proses tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Ahad.

Beliau berkata, proses pengeluaran kertas undi pos bagi PRK Parlimen Sandakan itu juga telah disiarkan secara live streaming di Facebook SPR bagi menunjukkan proses tersebut dilakukan secara telus dan adil.

Selain daripada itu, ia juga bertujuan untuk meningkatkan lagi kefahaman masyarakat awam mengenai proses pilihan raya.

Katanya, sampul keutamaan undi pos PTH luar negara telah diserahkan kepada pihak Pos Malaysia pada hari yang sama untuk dihantar kepada pengundi-pengundi terbabit. Manakala sampul keutamaan undi pos bagi petugas SPR akan diserahkan oleh Pegawai Pengurus mulai Isnin.

Dalam pada itu, SPR mengingatkan kepada semua pengundi pos agar mengisi dengan lengkap dan betul serta segera mengembalikan semula kertas undi pos itu kepada Pegawai Pengurus PRK Parlimen Sandakan sebelum jam 5 petang pada Hari Mengundi iaitu pada 11 Mei ini.

Beliau juga mengingatkan pengundi agar tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial.

“Sekiranya perbuatan sebegitu dilakukan, tindakan undang-undang akan diambil dan jika disabitkan serta didapati bersalah boleh dikenakan hukuman sewajarnya,” jelasnya