PRK Sandakan: SPR jangka 70 peratus dijangka keluar mengundi

Calon-calon PRK Sandakan, dari kiri, Hamzah Abdullah, Sulaiman Abdul Samat, Vivian Wong, Chia Siew Yung dan Linda Tsen

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Sandakan pada 11 Mei ini adalah sebanyak 70 peratus.

Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom berkata, semua pengundi akan keluar mengundi bagi menunaikan hak dan tanggungjawab mereka.

”SPR berharap semua pengundi di Parlimen Sandakan ini dapat menjalankan tanggungjawab merea sebagai pengundi dan tidak mensia-siakan hak serta undi mereka.

Azmi Sharom

”Disamping itu, SPR juga berharap aktiviti berkempen akan berjalan dengan penuh harmoni dan tidak melanggar undang-undang dan peratuan ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Sabtu.

SPR dijangka mengumumkan keputusan PRK Parlimen Sandakan sebelum 10 malam (11 Mei).

Parlimen Sandakan mempunyai 40,131pengundi yang melibatkan 39,856 pengundi biasa dan 270 orang pengundi awal.

Azmi berkata, bagi pemantauan aktiviti berkempen sepanjang 14 hari, SPR telah menubuhkan empat Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya selaras dengan Seksyen 27B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Oleh itu, semua calon diingatkan supaya mematuhi segala peraturan ditetapkan di bawah akta berkenaan sepanjang tempoh berkempen bermula selepas pengistiharan calon pada 27 April hingga 11.59 malam pada 10 Mei.

Selain itu, SPR juga menasihatkan calon supaya tidak menggunakan bahan kempen yang mengandungi perkataan yang boleh menimbulkan perasaan jahat, berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan atau boleh mendatangkan permusuhan.

Katanya, Penguatkuasa Pilihan Raya berhak menurunkan bahan kempen yang berunsur negatif atau melanggar peruntukan undang-undang pilihan raya.

Azmi juga menyarankan setiap calon mendapatkan permit daripada polis sekiranya ingin mengadakan ceramah.

Setiap ceramah perlu mendapatkan permit polis dan polis berkuasa untuk mengambil tindakan bagi aktiviti ceramah yang dijalankan tanpa permit.

Dalam PRK Parlimen Sandakan ini, SPR melantik 57 orang pemerhati daripada 10 organisasi kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan organisasi berkaitan. Sebanyak dua individu berkelayakan turut dilantik bagi memantau perjalanan proses pilihan raya ini.

Sebagai langkah penambahbaikan, SPR menyediakan dua saluran mengundi untuk pengundi berumur 60 tahun dan ke atas dan satu saluran mengundi bagi Orang Kelainan Upaya (OKU) yang berjumlah 349 orang.

Disamping itu, SPR turut menambah 17 saluran baharu, iaitu pertambahan daripada 75 saluran kepada 92 saluran bagi memudahkan proses pengundian pada 11 Mei.

Waktu mengundi diawalkan dari 7.30 pagi hingga 5 petang berbanding dam Pilihan Raya Umum ke-4 lalu yang bermula pada 8 pagi.