PRK Sandakan: Proses Pengundian Berjalan Lancar, 27 Peratus Setakat 11 Pagi

337

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
SANDAKAN: Proses pengundian di semua pusat mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan berjalan lancar.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun (gambar) berkata, tiada sebarang laporan perbuatan provokasi atau barong-barong panas yang dibuka oleh mana-mana parti diterima setakat ini.

“Perjalanan pada pagi ini begitu lancar sekali, setakat pukul sembilan pagi, 12 peratus keluar mengundi, tidak ada insiden-insiden serius berlaku, tidak ada insiden menggangu kententeraman awam dan sebagainya.

“Barong-barong panas pun saya belum terima laporan dan tiada lagi perhimpunan penyokong yang bersorak, yang buat provokasi, pihak yang sebelah lagi, saya rasa pengundi-pengundi dan parti-parti yang terlibat di sini amat berdisiplin, dan tidak melanggar apa-apa undang-undang peraturan pilihan raya,” katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Tanjung Papat 1 pagi ini.

Beliau berkata, jumlah pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab mereka dijangka meningkat menjelang tengah hari ini dan petang nanti.

Katanya, setakat pukul 11 pagi, sebanyak 27 peratus telah keluar mengundi.

“Saya rasa okey, setakat pukul sembilan tadi pun sudah ok, kita masih ada lagi sembilan jam lagi, lagi pun hari ini bulan puasa, mungkin orang lepas sahur tidur lagi, saya rasa 12 peratus pada pukul sembilan pagi adalah peratusan yang baik,” katanya.

Untuk rekod, SK Sri Tanjung Papat 1 menempatkan lima saluran pengundian dan lokasi tersebut merupakan tempat pengundi bumiputera Islam yang teramai bagi PRK ini.