PRK Sandakan: Lima Kertas Siasatan Dibuka, Pesuruhjaya Polis Sabah

1089
Omar Mammah (tengah) bersama pegawai kanan polis yang lain ketika sidang media berkenaan.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Sebanyak dua kertas siasatan masih dijalankan berhubung laporan polis yang diterima sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, sepanjang tempoh berkempen yang bermula 27 April hingga Rabu (8 Mei), 11 laporan polis diterima dan lima kertas siasatan telah dibuka.

Daripada lima kertas siasatan yang dibuka itu, dua kertas siasatan masih berjalan iaitu satu kes khianat membabitkan kain rentang (banner) yang melibatkan kerugian melebihi RM25 dan kes ini disiasat dibawah Seksyen 426 Kanun Keseksaan.

Satu kes lagi yang melibatkan pemasangan kain rentang yang mengeluarkan kata-kata mengaibkan dengan niat pecah keamanan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

“Tiga kertas siasatan lagi telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya pada 6 Mei lalu telah diputuskan sebagai tiada tindakan selanjutnya (NFA).

“Ia melibatkan dua kes khianat melalui poster yang disiasat mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan dan satu kes dibawah Seksyen 24B (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya atas kesalahan menjalankan kempen tanpa permit,” katanya ketika Sidang Media berhubung laporan polis diterima berkaitan PRK Parlimen Sandakan, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di sini pada Rabu.

Omar berkata, enam laporan polis yang diterima itu tidak dilihat mempunyai sebarang unsur jenayah dan kes-kes itu diklasifikasikan sebagai NFA dan ada yang dirujuk kepada majistret.

PERINTAH BERKURUNG TIDAK JEJAS PERJALANAN KEMPEN DI SANDAKAN

KOTA KINABALU: Perintah berkurung yang dilaksana di kawasan perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) tidak menjejaskan perjalanan kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Sandakan.

Perintah berkurung tidak jejas perjalanan kempen di Sandakan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, kesemua kempen dijalankan di kawasan daratan dan tiada sebarang laporan berhubung pelanggaran arahan perintah berkurung berikutan kempen yang dijalankan.

”Kita difahamkan tiada kempen dijalankan di pulau, semua kempen di daratan,” katanya ketika ditanya mengenai perjalanan kempen di Sandakan, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di sini pada Rabu.

Mengenai kesiapsiagaan anggota polis pada Hari Mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan pada 11 Mei ini, Omar berkata, seramai 1,000 orang anggota polis akan ditugaskan bagi menjaga dan mengawal keselamatan di semua pusat pembuangan undi serta pusat pengiraan dan penjumlahan undi.

“Kita juga akan menghantar anggota polis untuk mengawal keadaan selepas pengumuman keputusan di buat,” katanya.

Mengenai keadaan di Sandakan sepanjang tempoh berkempen berlangsung sejak 27 April lalu, keadaan setakat ini masih terkawal tanpa ada sebarang insiden tidak diingini berlaku.

Dengan itu, beliau mengingatkan calon, wakil calon dan penyokong-penyokong supaya sentiasa mematuhi dan menghormati undang-undang dan tidak menimbulkan sebarang provokasi yang boleh menimbulkan pergaduhan atau pecah keamanan hingga boleh menganggu orang awam di Sandakan.

”Begitu juga dengan orang awam, saya mengingatkan mereka supaya jangan terpengaruh dengan fitnah disebarkan jika ada dan sekiranya ada kemusykilan sila berhubung dengan pihak polis untuk bertanyakan keadaan keselamatan di Sandakan,” jelasnya.