PRK Sandakan Kemenangan Indah Untuk Kerajaan – Phoong Jin Zhe

83
Phoong Jin Zhe, kiri, bersama Vivian Wong.

Oleh PHOONG JIN ZHE
KOMEN: Sebagai pengurus publisiti DAP dalam PRK Sandakan, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat mencapai kemenangan indah bagi Ahli Parlimen baharu kita, Vivian Wong.

Pertama dan yang paling penting sekali, terima kasih kepada pengundi Sandakan, kerana mengundi dengan bijak dan berani tanpa diganggu dengan rasa takut atau rasuah agar kita boleh meneruskan legasi mendiang Datuk Stephen Wong.

Sebagai ahli kepada parti pemerintah di negeri dan peringkat Persekutuan, kami percaya DAP dan Vivian mampu membawa pembangunan lebih baik serta kemakmuran kepada penduduk Sandakan.

Tidak dilupakan bantuan dan sokongan semua parti komponen dan sekutu, sama ada peringkat Pusat atau negeri kerana berkunjung ke Sandakan dan bersama calon untuk walkabout serta ceramah sepanjang kempen.

Terutama sekali Parti Warisan Sabah, pemimpin dan ahli mereka bekerja tanpa mengenal penat dan memberikan usaha terbaik demi kemenangan DAP.

Inilah semangat setiakawan dan kerja sepasukan yang diperlukan bukan saja memenangi pilihan raya tetapi juga bekerjasama demi kebaikan rakyat.

Saya juga secara khusus ingin menumpukan bagaimana tunjuk ajar dan sokongan penuh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal kepada Vivian dengan berkunjung rumah ke rumah dan menyampaikan ceramah kepada orang Sandakan, terutama orang Islam dan bekas kubu kuat BN di Pulau Berhala serta Kampung Sim-Sim.

Ini menyebabkan hampir kesemua saluran mengundi di kawasan itu menyokong Vivian, meningkatkan sokongan pengundi Islam sebanyak 17 peratus berbanding PRU14.

Seperti kata Lim Guan Eng, Mohd. Shafie adalah ‘Bossku’ sebenar di Sabah.

Saya percaya Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal, melalui PRK ini telah menunjukkan kepada Kerajaan Persekutuan bahawa beliau mempunyai kekuatan dan sekutu yang mampu mengetuai kestabilan politik kerajaan negeri serta komited mengekalkan hubungan antara Warisan dan PH yang kini mempunyai lebih kekuatan untuk menjuarai hak dan kemahuan rakyat Sabah di Parlimen.

Yang terakhir dan terkecuali, saya ucapkan terima kasih kepada pemimpin DAP Pusat dan negeri kerana datang dari tempat masing-masing untuk menyokong Vivian terutama pemimpin veteran, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung, Lim Guan Eng serta lain-lain.

PRK ini bukan sahaja menandakan kemenangan Sabah dan DAP dalam menolak kerajaan terdahulu yang rasuah di bawah Barisan Nasional (BN) tetapi juga kesatuan dan setiakwan yang ditunjukkan semua komponen parti di bawah PH dalam Malaysia Baharu ini.

Tanpa kerja berpasukan yang luar biasa, kita tidak mampu menang.

* Phoong Jin Zhe ialah ADUN Luyang serta Setiausaha Publisiti Kebangsaan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY)