PRK Sandakan: DAP Ditentang PBS, Tiga Bebas

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
SANDAKAN: Pertembungan lima penjuru berlaku dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) P.186 Parlimen Sandakan 11 Mei ini.

Calon DAP, Vivian Wong, 30, ditentang oleh calon Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Linda Tsen Thau Lin dan tiga calon Bebas.

Calon-calon Bebas tersebut ialah bekas Pengerusi Amanah, Hamzah Abdullah; ahli perniagaan, Chia Siew Yung, 45, dan bekas aktivis politik, Sulaiman Abdul Samat, 36.

Kesemua calon berkenaan telah menyerahkan borang pencalonan masing-masing di Pusat Penamaan Calon Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tiong Hua pagi ini.

Pencalonan mereka telah disahkan oleh Pegawai Pengurus PRK Sandakan, Mohamad Hamsan Awang Supian yang membuat pengumuman selepas tempoh penamaan dan bantahan tamat.

Sementara itu, sehingga tempoh pencalonan ditutup, seorang aktivis yang dijangka menjadi calon keenam dalam PRK Sandakan tidak hadir menghantar borang pencalonan.

Dalam sesi penerangan bersama polis Jumaat lalu, aktivis berkenaan, Jafazli Shi Ahmad telah menghantar wakilnya bagi mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa itu.

Terdahulu pagi ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengetuai barisan kira-kira 300 penyokong Vivian berarak mengiringi calon berkenaan ke pusat penamaan sebagai tanda sokongan.

Turut bersama adalah Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan pemimpin-pemimpin Pusat serta negeri.

Linda Tsen, Chia Siew Yung , Vivian Wong, Sulaiman Abdul Samat dan Hamzah Abdullah

PBS dan calon Bebas turut membawa penyokong masing-masing, namun jumlahnya tidak ramai.