PRK Sandakan; Calon Akan Diumum Bila Tiba Masanya Kata Shafie

374

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Keputusan mengenai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan akan diumumkan apabila tiba masanya, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, perkara berkaitan calon itu sudah dibincangkan dengan Setiausaha Agung DAP Pusat Lim Guang Eng pada Selasa.

‘Saya ada berbincang dengan Lim dalam persidangan Dewan Rakyat kelmarin dan saya akan mengumumkan keputusan itu apabila tiba pada masanya.

”Kita ada calon namun, belum masanya untuk diumumkan,” katanya ketika ditanya tentang calon PRK Sandakan, di sini pada Rabu.

Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) yang menerajui kepimpinan Sabah ini memaklumkan pihaknya akan mengadakan mesyuarat bagi membolehkan perjalanan persediaan PRK di Parlimen Sandakan itu dapat dijayakan.

Pemerintahan Kerajaan Sabah terbentuk hasil kerjasama Warisan, DAP, PKR dan Upko.

Kerusi Parlimen Sandakan kosong apabila penyandangnya, mendiang Datuk Stephen Wong,65, meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.

Mendiang Stephen adalah Pengerusi DAP Sabah yang memegang potfolio Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat.

Sebelum ini ada sumber memaklumkan DAP Sabah mahukan anak mendiang Stephen, iaitu Vivian Wong dijadikan calon bagi Parlimen Sandakan.

Vivian,30, bertugas sebagai Pegawai Perhubungan Awam dalam Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat dan beliau banyak membantu mendiang ayahnya semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Jumaat menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK Sandakan pada 27 April, pengundian awal pada 7 Mei dan hari mengundi pada 11 Mei.

Tempoh berkempen adalah selam 14 hari bermula tarikh pengisytiharn calon.

Mengikut rekod SPR semasa PRU14, Parlimen Sandakan mempunyai 39,856 pengundi biasa, 270 pengundi awal dan lima pengundi tidak hadir luar negara.