PRK Sandakan: Bilangan Anggota Polis Akan Ditambah, Kata IGP

Calon DAP Vivian Wong, tengah, dengan Ketua Menteri Sabah dan pemimpin-pemimpin Sabah serta DAP.

KUALA LUMPUR: Bilangan anggota polis yang akan ditugaskan sepanjang tempoh Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan akan ditambah, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Kawalan juga perlu dipertingkat selepas pihaknya mendapati terdapat asas tertentu seperti keadaan tidak menentu terutamanya di Selatan Filipina yang memberi kesan kepada negeri itu, katanya.

Buat masa ini lebih 1,000 anggota telah ditempatkan untuk memastikan proses PRK berjalan lancar dengan hari pencalonan ditetapkan pada esok, pengundian awal pada 7 Mei, dan hari mengundi pada 11 Mei.

“Saya juga telah beri arahan khusus kepada Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah dan Ketua Polis Daerah Sandakan untuk memastikan PRK dapat diadakan dengan aman dan selamat,” katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Selayang di sini sempena Peringatan Hari Polis ke-212.

MOHD FUZI HARUN

Turut hadir pemangku Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador, Timbalan Pengarah Kesihatan Selangor Dr Noormi Othman dan Timbalan Pengarah (Perubatan 1) Hospital Selayang Dr Tengku Intan Norleen Tengku Shariff.

Mohamad Fuzi bagaimanapun, tidak bercadang membawa anggota polis dari Semenanjung ke Sandakan untuk tujuan itu atas faktor kos.

“Saya yakin melalui persediaan yang dilaksanakan, proses PRK akan berjalan dengan lancar,” katanya.

PRK Sandakan diadakan selepas penyandangnya Datuk Stephen Wong Tien Fatt meninggal dunia akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas.

Semalam, Mohamad Fuzi mendedahkan kumpulan Daesh kini menjadikan Tawau dan Sandakan di Sabah sebagai transit untuk mereka masuk ke Selatan Filipina dan Rakhine, Myanmar.

Beliau dilaporkan berkata Daesh kini menjadikan kedua-dua kawasan itu sebagai lokasi baharu mereka di Asia Tenggara setelah kedudukan mereka tergugat dalam serangan tentera bersekutu di Iraq dan Syria.