PRK Kimanis Ditetapkan Selepas SPR Terima Notis Mahkamah

124

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia masih belum menerima notis pemberitahuan mahkamah berkaitan pembatalan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman di kerusi Parlimen Kimanis dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, pihak SPR masih menunggu notis pemberitahuan dikeluarkan oleh mahkamah dan setelah menerima notis itu, barulah SPR akan mengadakan mesyuarat di Putrajaya dalam tempoh empat hingga 10 hari bagi menetapkan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

“Pengumuman tarikh PRK Parlimen Kimanis itu akan dibuat di Putrajaya.

“Notis pemberitahuan itu biasanya mengambil masa selama 14 hari untuk dikeluarkan oleh pihak mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Sesi Libat Urus dengan parti-parti politik negeri Sabah dan Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), di sini hari ini.

Ditanya mengenai penambahbaikan dan inisiatif baru yang akan dibuat dalam PRK kali ini, Azhar berkata, masih terlalu awal untuk memikirkan inisiatif baharu kerana keputusan mahkamah baru diputuskan semalam.

Bagaimanapun, persediaan SPR sama seperti yang sudah dilakukan di sembilan PRK yang dijalankan sebelum ini.

Ditanya mengenai kakitangan yang akan ditempatkan di PRK Parlimen Kimanis, beliau berkata, perkara itu belum diputuskan. Namun, petugas yang mencukupi akan ditempatkan bagi memastikan proses PRK berjalan lancar.

Menurutnya, sepanjang sembilan PRK diadakan dibawah pengawasannya, PRK Parlimen Sandakan antara yang terbaik setakat ini kerana kempen, sifat dan perangai pengundi sangat berhemah dan itu membuktikan kematangan pengundi di Sandakan.

Mahkamah Persekutuan semalam mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Sabah bahawa kemenangan Anifah di kerusi Parlimen Kimanis dalam PRU14 dibatalkan.

Pada 16 Ogos, Mahkamah Pilihan Raya Sabah membatalkan kemenangan Anifah bagi kerusi Parlimen Kimanis dalam PRU14 kerana didapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Petisyen itu difailkan oleh calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang bagi mencabar kemenangan Anifah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) di Parlimen Kimanis dalam PRU14.

Karim memfailkan petisyen itu pada 18 Jun tahun lalu dengan menamakan Anifah sebagai responden pertama dan pegawai pilihan raya untuk Kimanis serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden kedua dan ketiga.

Dalam PRU14, Anifah, yang juga bekas Menteri Luar memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti 156 undi, dalam persaingan tiga penjuru.

Anifah memperoleh 11,942 undi berbanding calon Warisan, Karim (11,786 undi) dan Jaafar Ismail (1,300 undi).

BERITA BERKAITAN :-

Anifah Ikut Jejak Abang Gagal Di Mahkamah, PRK Kimanis ‘On’

Parlimen Kimanis: SPR Akur Keputusan Mahkamah