PRK Bugaya Perlu Diadakan Serentak Dengan PRU-15

KOTA KINABALU: Pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Bugaya yang sudah ditangguh hampir dua tahun perlu diadakan bersekali dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, memandangkan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya sudah ditangguh begitu lama maka, ia perlu diadakan bersama dengan PRU-15.

“Oleh sebab, masa agak singkat dan kita tidak mahu pembaziran berlaku, kita berharap serentakkan PRK Bugaya dengan PRU-15 yang mungkin diadakan pada tahun ini.

“Kawasan itu memerlukan wakil rakyat yang boleh kawasan itu diurus dengan baik,” katanya dalam siaran langsung ‘Let’s talk’ dalam laman Facebook semalam.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, sepatutnya PRK Bugaya diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh penyandangnya, Manis Muka Mohd Darah meninggal dunia pada 17 November 2020.

Namun, disebabkan pandemik Covid-19, PRK Bugaya tidak dapat diadakan bagi mengelak jangkitan berlaku.

Walau bagaimanapun, selepas kelonggaran diberi, PRK Bugaya masih tidak diadakan sedangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) di tiga negeri iaitu Melaka, Sarawak dan Johor boleh diadakan.

“Mungkin mereka bimbang, DUN Bugaya dahulu milik Warisan jadi kalau bertambah YB Warisan maka, bertambah duit mereka untuk membeli YB.

“Berkemungkinan itu boleh terjadi seperti yang mereka lakukan kepada ADUN Sebatik dan ADUN di kawasan lain seperti di Lahad Datu, Tawau, Sipitang dan Melalap.

“Hampir lapan YB sudah beralih dan mereka ini mempunyai jawatan di dalam parti bukan tiada jawatan,” katanya.