PRK Bugaya Harus Diadakan – Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Sekiranya pilihan raya di kawasan lain boleh diadakan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga seharusnya boleh melaksana PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya.

Kerusi DUN Bugaya diisytihar kosong apabila penyandangnya, Manis Muka Mohd Darah daripada parti Warisan meninggal dunia akibat masalah buah pinggang pada 17 November tahun lalu.
Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, beliau sudah berhubung dengan SPR mengenai PRK DUN Bugaya malah, perkara itu juga sudah dibangkitkan semasa persidangan Parlimen.

“Jika pilihan raya ditempat lain boleh diadakan takkan (DUN Bugaya) tidak boleh. Apa pun kita tidak ingin menjejaskan nyawa manusia jadi, kita serahkan kepada pihak berwajib untuk memberi hak dan kebenaran untuk mengadakan pilihan raya.

“Bagaimanapun pilihan raya itu perlu dilakukan agar rakyat mempunyai wakil yang sahih,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Warisan hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Semporna ini berkata, politik di negara ini tidak harus mempunyai satu parti dominan sahaja kerana ia akan melemahkan sistem semak dan imbang.

ADUN Senallang ini berkata, politik di negara ini perlu mempunyai pembangkang bagi melaksana tugas semak dan imbang kerajaan.

Pembangkang tidak seharusnya hilang kebebasan bersuara dengan bertindak menandatangani memorandum yang mampu menyekat suara mereka.

Jika dilihat situasi di PRK Melaka, dua parti dominan saling bertembung sesama sendiri iaitu antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Keadaan yang berlaku di Melaka mengelirukan rakyat kerana dua parti itu saling bertembung di peringkat negeri Melaka namun, di Putrajaya mereka bekerjasama. Situasi ini amat mengelirukan.

“Kekeliruan dan kebingungan yang berlaku menyebabkan rakyat yang mengundi juga bingung.

“Apa kita buat pada rakyat dan negara ini..apa sebenarnya kita lakukan sebagai ahli politik dan nilai apa yang kita mahu terjemahkan mahupun terapkan kepada pengundi.

Sebenarnya perlu atau tidak sebuah parti lebih dominan, itu harus diserahkan kepada rakyat kerana rakyat yang menentukan parti mana yang mereka ingin membentuk kerajaan.

Jelasya, bukan kuasa ahli politik menentukan, mereka itu sebuah parti dominan mahupun sebaliknya.

“Sekiranya rakyat mahu mengundi sebuah parti untuk memerintah, itu hak rakyat. Kita tidak boleh meletak syarat dan peraturan,” katanya.

Kelmarin, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamaed Khalid Nordin berkata, parti dominan penting bagi memastikan kerajaan dibentuk dapat memberi fokus kepada pembangunan negara.

Kewujudan parti dominan itu bukannya untuk mengekalkan kuasa yang diperoleh setelah parti politik memenangi majoriti kerusi untuk membentuk kerajaan.