Prihatin, Shafie Apdal Sampaikan Ijazah Kepada Graduan Di Hospital

863
Shafie Apdal menyerah Ijazah kepada graduan, UMS Fatmah Faisal yang menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth apabila terlibat dalam kemalangan jalanraya.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Prihatin dengan nasib yang menimpa seorang graduan yang sepatutnya menaiki pentas menerima segulung Ijazah Sarjana Muda dalam Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-20 yang berakhir pada Isnin, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hj Mohd Shafie Apdal melawat graduan yang kini terlantar di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini pada Jumaat.

Lawatan Ketua Menteri bersama rombongan UMS itu disambut dengan senyuman oleh Fatmah Faisal,23, yang masih tidak boleh bercakap dan mengalami lumpuh seluruh badan dan masih tidak dapat bercakap akibat terlibat dalam kemalangan berhampiran Masjid Bandaraya dalam perjalanan balik dari kerja pada 1 November lalu.

Mendengar kisah yang menimpa graduan Ijazah Sarjana Muda Psikologi yang berasal dari Kampung Senallang Semporna itu, Shafie yang juga Pro Canselor UMS datang melawatnya di HQE bagi menyampaikan sendiri ijazah yang diterima graduan UMS yang tidak dapat menghadiri upacara konvokesyen fakultinya yang berlangsung pada 26 November itu.

“Semasa konvokesyen dia tidak sempat hadir jadi, kehadiran kita ini diharap dapat memberi sedikit kegembiraan dan keceriaan kepada dia walaupun dia dalam keadaan sakit yang mana, tulang rusuknya patah dan sebelah kakinya lumpuh.

“Kita doakan dia akan sembuh dengan secepat mungkin,” kata Shafie ringkas selepas lawatan berkenaan.

Turut mengiringi Shafie adalah Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin.

Menurut Shafie pihak UMS juga sedang mengatur untuk memberi sedikit sebanyak bantuan kepada Fatmah yang berasal dari Kampung Senallang, Semporna untuk meringankan beban beliau dan keluarganya.

Fatmah yang bercita-cita menjadi seorang guru cedera parah apabila kereta yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan jalan raya di Bulatan Likas pada 1 Nov lalu.

Fatmah sepatutnya menerima ijazahnya pada majlis konvokesyen UMS pada 26 Nov lalu namun disebabkan kemalangan yang menimpanya semasa balik dari bekerja, hasratnya itu tidak kesampaian.