Presiden SDA Hargai Dasar Shafie Bantu Gereja Dan Sekolah

Mohd Shafie bergambar bersama beberapa pastor daripada masyarakat SDA.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
TUARAN: Presiden SDA Mission Sabah, Pastor Nelson G. Bendah menyambut baik segala bantuan yang diberikan kepada penganut Kristian SDA sepanjang pemerintahan Parti Warisan Sabah (Warisan) sejak 2018.

NELSON BENDAH

Beliau berkata, masyarakat Kristian SDA adalah antara yang bertuah dengan keprihatinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dalam menyalurkan pelbagai bantuan kepada institusi-institusi agama.

Katanya, Mohd. Shafie juga adalah satu-satunya Ketua Menteri yang menjejakkan kaki di Sekolah Menengah Advent Tamparuli, malah turut memberikan sumbangan untuk pembangunan sekolah berkenaan.

Mohd Shafie merasmikan pecah tanah pembinaan dewan SM Advent Tamparuli.

“Dalam dua tahun ini SDA Mission Sabah pada tahun 2018 kita menerima RM1 juta daripada kerajaan dan pada 2019 dia meningkat lagi kepada RM1.1 juta dan kita percaya tahun berikutnya juga akan bertambah nanti.

“Bukan sahaja gereja kita menerima bantuan tetapi sekolah kita juga menerima bantuan daripada kerajaan negeri di mana sekolah yang saya sebutkan di sini ialah SM Advent Tamparuli dan SM Advent Goshen yang berada di Kota Marudu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Pecah Tanah Dewan Serbaguna Sekolah Menengah Advent Tamparuli hari ini.

Majlis pecah tanah itu disempurnakan Mohd. Shafie yang mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk pembangunan sekolah mubaligh itu.

Nelson berkata, selain berjiwa rakyat, sistem pentadbiran Mohd. Shafie yang menolak ekstremisme dan memberi keadilan kepada semua agama di Sabah adalah penting dalam mengekalkan penyatuan rakyat di negeri ini.

“Sesungguhnya kita bersyukur dan bertuah kerana negeri Sabah di bawah pimpinan yang amat berhormat Ketua Menteri yang sentiasa komited dalam tugasnya sebagai pemimpin yang berwibawa mengangkat agenda penyatuan nasional demi mempertahankan perpaduan sejagat di negeri ini.

“Kita juga bersyukur dan berterima atas makluman yang dikeluarkan pada bulan Mac bahawa kerajaan negeri mempedulikan dan prihatin dengan kesulitan rakyat Sabah berikutan penularan Covid-19,” katanya.