Presiden SAPP Jangan Terlalu Angkuh – Sarifuddin Hata

KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) mengingatkan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) agar jangan terlalu angkuh dalam berkata-kata hanya kerana ingin menjatuhkan pihak lawan.

Ketua Warisan Bahagian Kalabakan, Sarifuddin Hata berkata, kenyataan dikeluarkan oleh Datuk Seri Yong Teck Lee baru-baru ini bahawa beliau bersedia menentang kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen Warisan merupakan kenyataan yang begitu sombong.

“Video Yong Teck Lee yang tular menunjukkan sifat sombong, tinggi diri dan ego. Ini hanya menunjukkan keangkuhannya dan percubaan yang gagal untuk mendapatkan publisiti.

“Talian hayat politik Yong sebenarnya sudah berakhir tetapi kembali diihidupkan oleh Perikatan Nasional (PN).

“Untuk makluman, Warisan tidak takut untuk berhadapan dengan pesaingnya, lebih-lebih lagi SAPP kerana parti pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ini mempunyai perjuangan yang cukup jelas dan konsisten dalam mengutamakan suara rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ADUN Merotai itu berkata, serangan berterusan oleh Yong tidak pernah melunturkan semangat parti sebaliknya membuatkan parti ini lebih komited untuk terus memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat seperti digariskan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Agak melucukan kerana Yong cenderung untuk sentiasa memburukkan Warisan dengan melemparkan pelbagai tuduhan, seolah-olah dia taksub untuk menjatuhkan kita,” ujarnya.

Sarifuddin menekankan bahawa pada 2001, Mahkamah Tinggi telah memerintahkan Yong untuk mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negerinya di Likas, setelah memutuskan bahawa Yong memenangi kerusi itu pada 1999 dengan bantuan ‘pengundi hantu’.

Sejak itu, beliau telah melakukan beberapa percubaan untuk membuat kemunculan semula dalam politik menerusi beberapa siri pilihan raya negeri tetapi ternyata, rakyat menolaknya dan juga partinya SAPP apabila calon parti itu tewas dan kehilangan wang deposit.

Berapa lama lagi Yong mahu terus kekal dalam politik? Permainan sudah berakhir baginya dan itulah realiti yang sebenarnya.

Sarifuddin berkata pengundi khususnya pengundi muda, bijak menilai pemimpin-pemimpin yang sombong, bongkak serta tidak sedarkan diri, dan akan menghukum pemimpin yang bersifat sedemikian dalam pilihanraya akan datang.

“Pengundi-pengundi sebenarnya sudah bijak menilai, pemimpin-pemimpin sebegini sebenarnya sudah ramai yang ditolak, bahkan kalau kita lihat dari sejarah, Yong sudah berapa kali bertanding atas tiket SAPP dan dihukum oleh rakyat dan telah pun hilang wang deposit pilihan raya.

“Pengundi-pengundi muda sudah bijak dan tidak mungkin akan memilih pemimpin-pemimpin yang ego, sombong, bongkak dan tidak sedar diri, dalam pilihanraya akan datang,” jelasnya.