Presiden Parti Politik Sabah Ditahan Tipu Jualan Dokumen

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Perpaduan Rakyat Sabah, Mohd Arshad Abdul Mualap dan seorang lagi individu dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam pagi tadi mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan terbabit dalam aktiviti penipuan penjualan kad program pengumpulan data maklumat dokumentasi orang tiada kewarganegaraan.

Mohd Arshad, 46, dan seorang lagi individu Mohamad Amkah Ahmad, 48, ditahan di Subang Jaya, pada 22 Jun lalu.

Menurut laporan Berita Harian,
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata kedua-dua mereka dipercayai menipu orang tiada warganegara dengan menawarkan kad data dilengkapi pengimbas kod QR sejak awal tahun ini.

“Setakat ini kad data berkenaan dijual antara harga RM500 hingga RM1,000 kepada mana-mana individu yang tidak mempunyai kewarganegaraan.

“Kedua-dua suspek sudah dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan penipuan,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, petang tadi.

Hamzah berkata, kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk mengeluarkan kad pengenalan.

“Justeru saya meminta mana-mana pihak terutama kepada mana-mana individu bukan warganegara supaya tidak tertipu dengan taktik sebegini.

“Kita tidak menolak kemungkinan Mohd Arshad yang mendaftarkan parti pada tahun 2017 dan menjadikan dirinya sebagai Presiden menggunakan parti untuk mendapatkan kepentingan dirinya sendiri dan melakukan kegiatan penipuan ini,” katanya.

Hamzah berkata beliau menerima maklumat mengenai kegiatan penipuan itu daripada individu bukan warga Malaysia sebelum membincangkannya dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

“Susulan itu Ketua Polis Negara, mewujudkan satu pasukan khas membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Selangor dan Bukit Aman yang kemudiannya melakukan serbuan ini dan menahan suspek,” katanya.

Hamzah berkata sebarang urusan permohonan Kad Pengenalan, hanyalah melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan hanya empat jenis kad pengenalan yang disahkan.

“Kad pengenalan itu adalah kad pengenalan MyKad untuk semua warganegara Malaysia (biru); kad pengenalan Pemastautin Tetap (merah); kad pengenalan warga asing yang bekerja di Malaysia (hijau) dan kad pengenalan (coklat) untuk mereka yang melakukan kesalahan besar,” katanya.