Presiden MPS Mohon Maaf, Harap Pengganti Dapat Sokongan

278

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
SANDAKAN: Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Datuk Peter Hii yang akan menamatkan kontraknya September depan, menyeru seluruh rakyat Sandakan memberi sokongan kepada penggantinya.

Hii berkata, sokongan berterusan perlu dalam memastikan Sandakan dapat terus dimajukan dan hasil kerja baik yang ditinggalkan beliau dapat diteruskan.

Beliau pada masa sama turut berharap mana-mana pemimpin yang dilantik selepas ini menjalankan tugas dengan penuh integriti dan menolak amalan rasuah agar dapat menjadi contoh yang baik kepada masyarakat.

“Saya merayu kepada rakyat untuk memberi sokongan dan kerjasama kepada pemimpin baharu demi memajukan Sandakan.

“Saya berharap pemimpin baharu akan menjalankan tugasnya secara jujur, telus, bertanggungjawab dan demokrasi serta terus bekerjasama menghapuskan rasuah dan mematuhi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hii telah dilantik ke jawatan itu pada 1 September tahun lalu oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Pelantikan berkenaan menimbulkan beberapa kontroversi terutama kerana beliau berasal dari Sarawak, namun tidak menghalang Hii untuk menjalankan tugasnya dengan berkesan.

Sejak dilantik, antara fokus utama Hii adalah mereformasi MPS agar hasil kerja kakitangannya telus, sifar rasuah dan mengutamakan kepentingan rakyat.

Selain itu, antara yang menjadi fokus Hii adalah soal kebersihan bandar Sandakan menyebabkan beliau melakukan rombakan dalam unit pembersihan MPS bagi memastikan kerja-kerja dilakukan dengan berkesan.

“Mengenai isu pembersihan dan kesihatan di bandar Sandakan, semua orang dapat melihat bahawa pemandangan telah banyak berubah dan banyak lagi projek akan ditender dalam soal mencantikkan Sandakan,” katanya.

Sementara itu, daripada segi kewangan, kerja keras Hii berjaya meningkatkan keupayaan MPS apabila hasil yang diperoleh melebihi perbelanjaan.

Walaupun begitu, di sebalik semua usaha yang beliau lakukan, Hii memohon kemaafan kepada seluruh rakyat Sandakan jika selama ini beliau gagal memberikan perkhidmatan terbaik.

Beliau mengakui bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak, justeru beliau telah mencuba yang terbaik.

“Saya menerima cabaran Ketua Menteri untuk menjalankan tanggungjawab walaupun pelaksanaan itu tidak dapat memuaskan hati seluruh warga Sandakan dan gagal mendapat skor yang sempurna.

“Oleh itu saya meminta maaf kerana tidak mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, jadi saya hanya boleh lakukan sedaya upaya sehingga tamat tempoh ini,” katanya.