PPV Sandakan Ditutup Secara Berperingkat

SANDAKAN:’Beberapa pusat pemberian vaksin (PPV) di daerah ini akan mula ditutup secara berperingkat susulan kadar kehadiran program vaksinasi COVID-19 secara walk in atau jumpa terus untuk dos pertama semakin berkurangan.

Pegawai Kesihatan Kawasan Sandakan Dr Johari Awang Besar berkata keputusan itu dibuat oleh Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) selepas mengambil kira keberkesanan kos mengendalikan tujuh PPV di daerah tersebut.

“Esok merupakan hari terakhir bagi PPV Dewan Hakka dan Dewan Batu Sapi beroperasi sebelum ia ditutup, manakala yang lain akan ditutup secara berperingkat berdasarkan keperluan.

“Oleh itu, sesiapa yang belum mendapat suntikan dos pertama boleh datang secara jumpa terus di PPV lain,” katanya ketika ditemui di PPV Dewan Masyarakat Sandakan, di sini hari ini.

Selain Dewan Masyarakat Sandakan, empat PPV yang masih beroperasi ialah Dewan Serbaguna Libaran, Dewan Yu Yuan, Dewan Tionghua dan Dewan Gum-Gum.

Meskipun PPV ditutup secara berperingkat, Dr Johari berkata program outreach akan terus dilaksanakan bukan sahaja di kawasan pedalaman, bahkan kawasan yang mempunyai ramai penduduk.

“Penutupan beberapa PPV akan membolehkan kami menubuhkan lebih banyak pasukan bergerak bagi mencari lebih ramai penduduk yang belum divaksin di kawasan terpencil atau berkepadatan tinggi,” katanya, sambil menambah ketika ini terdapat tiga pasukan bergerak.

Menurut Dr Johari, dianggarkan 150,000 daripada 323,100 penduduk dewasa di Sandakan termasuk bukan warganegara, masih belum mendapat dos pertama vaksin.

Beliau berkata daerah itu telah mencapai kira-kira 50 peratus populasi yang lengkap divaksin dan dijangka mencecah 60 peratus dalam tempoh dua minggu lagi, sekali gus membolehkan aktiviti rentas daerah mengikut zon, yang diperkenalkan semula di Sabah mulai  Jumaat ini.

Bagaimanapun, tiga daerah lain di bawah zon sama dengan Sandakan iaitu Kinabatangan, Beluran dan Telupid masih di bawah 50 peratus populasi yang lengkap dua dos.

Sementara itu, Dr Johari berkata pemberian dos kedua AstraZeneca kepada kira-kira 11,000 penduduk Sandakan akan bermula Jumaat ini dan berharap penerima menepati tarikh serta masa janji temu yang diberikan bagi mengelak kesesakan di PPV.