PPSMI: Sabah Tiada Masalah Jika Perlu Laksana

Datuk Yusof Yacob dalam Majlis Perasmian Konsert Kemilau Anak Seni Siri 4.

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
PENAMPANG: Sabah terbuka dengan  pelaksanaan semula Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kepada semua murid tahun satu di negeri ini tahun hadapan.

Menteri Pelajaran dan Inovasi, Datuk Dr. Yusof Yacob berkata, dasar tersebut bukanlah sesuatu yang baru, namun pihaknya belum lagi membuat keputusan.

“Ya, itu bukan baru sebenarnya dan kita masih belum buat keputusan, kita akan bincang dan kita akan melihat daripada pelbagai sudut.

“Tapi pada asasnya, saya melihat tidak ada masalah kerana bahasa Inggeris merupakan satu bahasa dunia yang semestinya dikuasai,” katanya.

Datuk Yusof Yacob memotong riben sempena Majlis Perasmian Konsert Kemilau Anak Seni Siri 4.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dalam Majlis Konsert Kemilau Anak Seni Seri 4 di sini semalam.

PPSMI mula dilaksanakan pada sesi persekolahan tahun 2003 dan dimansuh sepenuhnya pada 8 Julai 2012.

Mengulas lanjut, Yusof berkata, sekiranya pelaksanaan dasar itu kembali seperti dahulu perkara tersebut tidak akan menjadi masalah.

“Namun demikian, kita berbincang dengan kementerian pendidikan negeri misalnya mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

“Saya ingat tidak ada masalah. Kita terbuka, kita akan cadangkan dan kita akan mengumumkan nanti,” katanya.