PPS Ditutup, Semua Mangsa Dibenarkan Pulang.

57

Oleh ARDYHANSAH AMAT
Membakut: Semua 103 mangsa banjir di 12 buah kampung dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing, di sini, hari ini.

Pegawai Daerah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bencana Beaufort Jupary @ Jupri Etok berkata, ia berikutan air mula surut dan kampung mereka disahkan selamat untuk didiami semula.

“Keadaan cuaca yang baik hari ini juga banyak membantu mempercepatkan proses surut air sekali gus membolehkan mangsa untuk pulang ke rumah mereka.

“Sehubungan itu, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Selagon Beaufort ditutup sepenuhnya jam 4 petang tadi,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, 12 buah kampung terjejas akibat banjir menyebabkan 103 mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Tambah Jupary, jalan Kampung Poring dan Kayai yang sebelum ini hanya boleh dilalui kenderaan berat, kini pulih sepenuhnya dan selamat digunakan.

“Sehingga jam 4 tadi, paras air Sungai Membakut berada pada kedalaman 4.90 meter berbanding 5.06 meter pagi tadi,” katanya.

Bagaimanapun, Jupary berkata, pihaknya terus bersiap siaga memandangkan kedalaman itu masih berada pada tahap berwaspada.

“Walaupun PPS ditutup sepenuhnya, kami bersama agensi penguatkuasaan lain seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) polis dan bomba terus melakukan kerja pemantauan,” katanya.