PPR Taman Harmoni Dilarang Masuk Atau Keluar

Oleh TERTIA JACOB
SANDAKAN: Penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Harmoni di sini, tidak dibenarkan keluar dari perumahan itu sejak petang tadi.

Difahamkan, langkah itu susulan ada penduduk di kawasan terbabit yang dipercayai dikesan positif Covid-19, namun setakat ini tiada kenyataan rasmi dikeluarkan dari mana-mana pihak sama ada PPR itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Kesihatan selain beberapa agensi turut dilaporkan berada di lokasi berkenaan bagi membuat kawalan.

Difahamkan, orang ramai tidak dibenarkan memasuki perumahan itu kecuali penghuni, manakala penghuni pula tidak dibenarkan keluar daripada kawasan itu.

Taman perumahan itu mempunyai kira-kira 2,000 penduduk.

Sejak petang tadi juga, beberapa keping gambar tular menunjukkan pagar utama ke PPR terbabit ditutup dan dikawal pihak keselamatan, selain kehadiran anggota lengkap berpakaian pelindung perubatan.