PPR Kibabaig Dijangka Sedia Diduduki Selepas Jun

KOTA KINABALU: Proses penyiapan kerja-kerja tambahan Program Perumahan Rakyat (PPR) Kibabaig yang dinanti-nantikan kini dijangka siap pada Jun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayan, Jannie Lasimbang berkata demikian selepas membuat lawatan tapak ke PPR Kibabaig bersama wakil-wakil dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Persekutuan, Majlis Daerah Penampang dan Sabah Electricity S/B untuk membincangkan isu kelewatan lama Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kibabaig, Penampang.

Beliau berkata, pihaknya sering mendesak kerajaan untuk mempercepatkan penyiapan akhir projek perumahan ini yang terdiri daripada lapan blok berjumlah 760 unit, yang pada awalnya dijangka akan diserahkan daripada Kementerian Persekutuan tersebut pada Jun 2016.

Semasa taklimat dan pemeriksaan tapak, Ketua Penolong Pengarah Kanan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Persekutuan, Mohd Arzaleigh Abdul Rahman berkata kerja tambahan yang diperlukan itu kini berada di peringkat terakhir selepas menyelesaikan pelbagai masalah dan kelewatan yang dihadapi.

Jelasnya, kelewatan menduduki enam blok itu juga disebabkan kecurian kabel elektrik yang mengakibatkan kerugian besar, namun Kementerian Persekutuan sejak itu telah menyediakan dana untuk perkhidmatan keselamatan yang lebih baik.

Selain itu, walaupun jalan dari PPR ke jalan utama Kibabaig hampir siap, ia masih akan mengambil lebih banyak masa untuk disambungkan ke jalan Kibabaig. Bagaimanapun, kelewatan ini tidak akan menjejaskan jangkaan penyiapan dan pendudukan blok yang tidak diduduki pada bulan Jun.

“Saya juga melihat persekitaran kawasan blok-blok PPR yang tidak berpenghuni tidak diselenggara dengan baik dan pokok renek perlu dibersihkan.

“Saya menggesa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk menyediakan dana tambahan bagi membolehkan penyelenggaraan berkala persekitaran sementara menunggu kerja-kerja lain yang perlu disiapkan,” kata Jannie.

“Terdapat juga masalah akibat tanah runtuh berhampiran blok A, yang saya harap Jabatan Kerja Raya akan memeriksa dan memberi penyelesaian secepat mungkin,” tambahnya.

Pegawai Majlis Daerah Penampang, Riduwan Darasin memaklumkan bahawa 14 pemohon yang diluluskan telah menerima surat tawaran dan mereka telah dibenarkan berpindah ke blok sedia ada di G dan H. Riduwan turut menambah bahawa senarai orang yang diluluskan yang telah siap pada 2019 akan kekal dan tidak berubah dan mereka tidak perlu risau tentang ini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Majlis Daerah Penampang khususnya En Riduwan yang telah mengaturkan lawatan ke PPR ini.

“Saya juga menghargai komitmen yang ditunjukkan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Mohd Arzaleigh Abdul Rahman untuk berusaha menyempurnakan kerja-kerja tambahan dengan segera dan memastikan PPR Kibabaig selamat dan bersedia untuk diduduki.

“Saya merayu kepada semua pemohon supaya terus bersabar dengan kelewatan ini. Saya berharap Kerajaan GRS, khususnya Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah untuk terus memantau projek ini bagi memastikan pendudukan blok kosong pada Jun tahun ini kerana ia telah lama ditunggu-tunggu oleh ramai orang,” jelasnya.