PPPP digesa bantu kementerian perkasa pendidikan Sabah – Shafie

Datuk Shafie Apdal, kanan, menerima cenderakenangan dari Datuk Hj Zulkifli Hj Jaafar, yang dipertua Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPPP) Malaysia Sabah.

SEMPORNA: Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPPP) Malaysia Sabah diharap dapat bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Inovasi Sabah bagi memperkasakan lagi pendidikan di negeri ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata golongan ahli yang rata-rata pesara itu mempunyai pengalaman cukup luas dalam sektor pendidikan dan seharusnya boleh dimanfaatkan.

“Dengan garis panduan yang ada dalam persatuan ini, dan mereka (ahli) boleh memberi pandangan bernas bagaimana kita (kementerian) dapat menambah baik pendidikan sedia ada.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan ke-13 PPPP di sini, Ahad.

Dalam pada itu Mohd Shafie berkata Kementerian Pendidikan dan Inovasi Sabah diwujudkan selepas mengambil pandangan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu anak Sabah menerima pendidikan sewajarnya.