PPP Bantu Tingkat Hasil Pertanian Dalam KDNK Sabah

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Pelaksanaan Pelan Pembangunan Pertanian 2021-2030 dijangka akan meningkatkan sumbangan sektor pertanian di Sabah sehingga 40 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tempoh 10 tahun akan datang.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, hasil dalam sektor pertanian boleh ditingkatkan sehingga 40 peratus sekiranya pelan pembangunan ini dimanfaatkan sepenuhnya.

Beliau berkata, Sabah mempunyai kelebihan berbanding banyak negeri-negeri lain di Malaysia kerana mempunyai keluasan dan kesuburan tanah yang baik.

“Misalnya di kawasan-kawasan seperti Tawau, Kunak, Lahad Datu sampai Pensiangan mempunyai tanah yang cukup subur. Apa jenis tanaman boleh ditanam di situ termasuk nanas yang mungkin berpotensi diproses bagi menghasilkan gula.

“Saya telah tekankan dalam usaha sebegini kerangka dalam bentuk pembangunan penyelidikan perlu ada dalam memastikan tanaman dihasilkan mempunyai benih yang baik dan berkualiti agar produk tanaman kita mendapat permintaan yang tinggi di pasaran,” katanya ketika ditanya mengenai jangkaan sumbangan Pelan Pembangunan Pertanian dalam KDNK Negeri Sabah dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Mohd Shafie berkata, peningkatan populasi penduduk dunia akan bertambah maka, keperluan terhadap keselamatan makanan juga akan meningkat.

Maka, apabila permintaan meningkat, pendapatan dalam sektor pertanian ini terhadap KDNK Negeri juga akan bertambah.

Menurutnya, selain sumbangan kepada KDNK Negeri, sektor ini juga dapat melahirkan peluang pekerjaan dalam penyediaan tenaga buruh serta pekerja bagi melakukan aktiviti pembenihan, pengangkutan mahupun pembungkusan.

Katanya, sektor makanan mempunyai limpahan ekonomi yang cukup besar. Atas sebab itu kerangka hala tuju sektor pertanian ini perlu ditetapkan dengan mengeluarkan pelan pembangunan ini.

Beliau berkata, dalam keadaan persekitaran dunia yang banyak perubahan, prasarana lengkap perlu disediakan bagi memastikan pembangunan sektor pertanian terus mampan.