PPM Tawau Rampas 2,610 Liter Petrol Untuk Diseludup

51

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 2,610 liter petrol di tepi jambatan perkampungan atas air Batu 4 di sini, semalam, dipercayai untuk diseludup keluar ke selatan Filipina.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata minyak berkenaan ditemui di dalam dua perahu antara 5.30 hingga 5.40 petang sewaktu rondaan tugas Ops Gelora Khas.

“Anggota bertugas bertindak memeriksa dua pam bot tidak berdaftar selepas menerima maklumat intipan.

“Semasa pemeriksaan ditemui masing-masing 53 dan 32 tong berisi minyak petrol bernilai RM6,579 untuk diseludup,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata sewaktu pemeriksaan kedua-dua bot berkenaan, tiada individu tampil untuk mengaku sebagai pemilik bot.

Katanya dua bot serta enam enjin bernilai RM23,000 dan kesemua barang rampasan di bawa ke Pangkalan Polis Marin Tawau untuk siasatan  dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.