PPM Tahan Lelaki Tempatan, Rampas Petrol Cuba Diseludup

59
Antara enjin dan minyak petrol yang dirampas.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mematahkan beberapa aktiviti penyeludupan minyak petrol yang dilaporkan aktif berlaku di Kampung Kuala Bibing, di sini kelmarin.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Assisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, dalam tiga operasi berasingan pihaknya turut merampas 4,200 liter minyak petrol dalam 168 jerikin, selain bot dan enjin dianggarkan bernilai hampir RM185,000.

“Kes pertama dilaporkan berlaku pada pukul 6.40 petang, Rabu lalu, anggota bertugas membuat satu pemeriksaan ke atas sebuah bot yang ditambat di kampung tersebut dan menemui 32 jerikin berisi minyak petrol dipercayai cuba di seludup ke Filipina.

“Hasil pemeriksaan dan siasatan di rumah berhampiran, tiada individu mengaku memiliki bot berkenaan menyebabkan sitaan serta rampasan dibuat,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Tambah Mohamad Pajeri, pihaknya meneruskan serbuan kedua pada pukul 9 malam, hari yang sama, sebelum melakukan pemeriksaan dan rampasan membabitkan enam perahu tidak berdaftar dan lapan enjin sangkut dipercayai digunakan untuk aktiviti penyeludupan.

“Dua jam kemudian, PPM melakukan serbuan ketiga di sebuah stor berkunci berhampirann sebuah kedai runcit kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti yang sama.

“Hasil serbuan, PPM berjaya menemukan 136 jerikin berisi 3,400 liter minyak petrol disimpan tanpa permit dan surat kebenaran pihak berkuasa.

“Seorang lelaki tempatan, 47, turut ditahan selepas mengaku memiliki minyak petrol tersebut,” katanya.

Menurutnya, siasatan juga mendapati suspek turut terbabit dengan aktiviti penyeludupan barangan bersubsidi ke Filipina.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.