PPM Tahan Empat PATI Filipina Di Sepanggar

129

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Empat warga Filipina ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri ketika pemeriksaan keselamatan di Jeti Jualan Diesel Bersubsidi Persatuan Nelayan Kawasan Kota Kinabalu, Kampung Lubuk Poring, Sepanggar, di sini hari ini.

Keempat-empat suspek berusia 19 hingga 24 tahun itu ditahan semasa pemeriksaan dilakukan dalam Operasi Inter Agensi bersama Jabatan Imigresen Sabah di jeti berkenaan.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, semasa pemeriksaan awal dijalankan mendapati kesemua suspek gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri.

Katanya, keempat-empat suspek juga mengaku secara lisan bahawa mereka berasal dari Kagayan, Filipina semasa disoal oleh pegawai Jabatan Imigresen.

“Tujuan operasi ini dijalankan adalah untuk membanteras isu pendatang asing tanpa izin (PATI) yang semakin berleluasa.

“Operasi Inter Agensi ini juga melibatkan seramai seorang pegawai, 16 anggota PPM Kota Kinabalu dan dua pegawai bersama 11 anggota daripada Jabatan Imigresen Kota Kinabalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, sebanyak dua buah Aset PPM iaitu Bot RH29 dan Bot RH51 juga telah digerakkan bagi melancarkan operasi bersepadu berkenaan.

Beliau berkata, kesemua empat warga Filipina itu dibawa terus oleh Jabatan Imigresen untuk disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, sekiranya didapati bersalah boleh dikenakan tindakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih daripada 5 tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih daripada enam kali sebatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dengan jenayah serta lain-lain kesalahan atau sebarang aktiviti yang mencurigakan di perairan Sabah supaya dinasihatkan membuat laporan polis atau salurkan maklumat ke pejabat PPM Kota Kinabalu di talian 088-310 289,” tambahnya.