PPM Tahan Dua PATI Filipina

Oleh ARDYHANSAH AMAT
KUNAK: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menahan dua lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dalam dua operasi berasingan, dekat sini semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki berumur 42 tahun di perairan Pelabuhan Kunak, pada pukul 3 petang semalam.

“Ketika ditahan, suspek yang juga juragan sebuah pam bot gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.

“Selang 20 minit kemudian, PPM menahan satu lagi pam bot dikendalikan seorang lelaki berumur 50 tahun di perairan yang sama,” katanya.

Suspek kedua juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Mohamad Pajeri berkata, sehubungan itu, pihaknya menahan suspek berkenaan dan merampas bot serta enjin pam yang dianggarkan bernilai RM7,800.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Semua suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Ibu pejabat Polis Daerah Kunak untuk tindakan lanjut,” katanya.