PPM Tahan Dua Lelaki Seludup Petrol

53

Oleh ARDYHANSAH AMAT
SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan dua lelaki termasuk seorang warga Filipina dipercayai terbabit dalam aktiviti penyeludupan minyak petrol di Pulau Boheian, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 5 petang itu, PPM turut menemukan 40 tong jerikin berisi 1,130 liter minyak petrol dianggarkan bernilai RM2,371.20.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, terdahulu pihaknya melakukan serbuan di lokasi kejadian selepas mendapat maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan di situ.

“Ketika serbuan dilakukan, seorang lelaki tempatan berumur 33 tahun sedang leka memunggah jerikin berisi minyak petrol dari sebuah bot berwarna kelabu ke stor di sebuah rumah di pulau berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut dilakukan ke atas rumah terbabit berjaya menemukab seorang lelaki warga Filipina bersama 26 jerikin berwarna biru berisi minyak petrol, dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran berkenaan,” katanya kepada media, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, hasil pemeriksaan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran pembelian barangan bersubsidi itu daripada pihak berwajib.

“Sehubungan itu, PPM merampas semua barangan tersebut termasuk sebuah bot dan enjin dianggarkan bernilai RM18,471.20.

“Kedua-dua suspek juga ditahan dan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana kesalahan menyeludup dan memiliki barang bersubsidi tanpa kebenaran,” katanya.