PPM Serah Dua Nelayan Indonesia Hanyut Kepada KRI

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Dua nelayan Indonesia yang ditemukan hanyut di perairan daerah ini, semalam, diserahkan kepada Konsulat Republik Indonesia (KRI), untuk tujuan penghantaran semula ke negara asal.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, penyerahan itu dilakukan pihaknya di pejabat KRI, Jalan Sin On, pukul 4.30 petang, semalam.

“Terdahulu, pada pukul 9 pagi, sepasukan anggota PPM Tawau melakukan rondaan Op Gelora berjaya menemukan sebuah bot nelayan Indonesia di perairan Tanjung Saima.

“Hasil pemeriksaan dilakukan, terdapat dua lelaki warga Indonesia berumur antara 31 hingga 43 tahun berada dalam bot tersebut,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Tambahnya, hasil soal siasat yang dilakukan, suspek mengaku berasal dari Kampung Sungai Nyamuk, Pulau Sebatik, Indonesia.

“Bagaimanapun, mereka mendakwa bot yang dinaiki mengalami kerosakan sebelum dihanyutkan arus sehingga ke lokasi mereka ditahan pihak berkuasa Malaysia.

“Sehubungan itu, bot dan nelayan terbabit dibawa ke Pangkalan PPM Tawau untuk tujuan dokumentasi dan pemeriksaan barang bagi memastikan mereka tidak melakukan sebarang kesalahan atau aktiviti jenayah,” katanya.

Selepas berpuas hati dengan pemeriksaan itu, Mohamad Pajeri berkata, pihaknya  kemudian menghubungi KRI bagi memaklumkan perkara tersebut.

“Ini adalah penyerahan kedua yang dilakukan PPM Tawau kepada KRI membabitkan nelayan hanyut.

“Kerjasama sebegini akan diteruskan dari semasa ke semasa antara PPM dan pihak berkuasa Indonesia dalam memastikan penjagaan sempadan dilakukan bersama,” katanya.