PPM Rampas ‘Ikan Bom’

Oleh ARDYHANSAH AMAT
SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan dua lelaki dipercayai terbabit dengan aktiviti pengeboman ikan di perairan Pualu Kabimbangan, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, PPM turut merampas tiga kilogram pelbagai spesis ikan dipercayai akibat dibom.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna Asisten Superintenden Sofian Awang Damit, terdahulu pihaknya melakukan rondaan di lokasi berkenaan sebelum menemui sebuah bot pam dinaiki suspek, berumur 18 dan 35 tahun.

“Pasukan bertugas kemudian menahan bot berkenaan untuk melakukan pemeriksaan sebelum menemui hasil laut yang disimpan di bahagian hadapan bot.

“Suspek juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri ketika ditahan,” katanya.

Tambah Sofian, ketika pemeriksaan dilakukan, pihaknya hanya menemui peralatan menangkap ikan manakala botol kaca dan bom ikan tidak ditemui, dipercayai sudah digunakan.

“Kami mendapati suspek sengaja menggunakan enjin pam dan perahu kecil bagi membolehkan mereka melarikan diri di kawasan perairan cetek apabila terserempak dengan pihak berkuasa,” katanya.

Suspek kini ditahan manakala beberapa barangan milik mereka termasuk bot dan enjin dirampas bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26(1)(c) Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 dan penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan,” katanya.