PPM Rampas 800 Bungkus Rokok Seludup

Oleh ARDYHANSAH AMAT
LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan dua lelaki warga Filipina selepas didakwa terbabit dalam aktiviti penyeludupan rokok kretek di Kampung Yayasan Sabah, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, polis turut merampas 800 bungkus rokok tidak bercukai dianggarkan bernilai lebih RM11,000.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Lahad Superintenden Gan Ping Sin berkata, berdasarkan risikan dan maklumat diterima, pihaknya melakukan serbuan ke atas sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan.

“Hasil serbuan yang dilakukan, kami berjaya menemui beg plastik berwarna hitam di dalam rumah atas air terbabit.

“Pemeriksaan lanjut berjaya menemui 800 bungkus rokok pelbagai jenama tidak bercukai,” katanya menerusi kenyataan media, semalam.

Tambah Gan, sehubungan itu, pihaknya menahan dua lelaki berusia 17 dan 30 tahun dipercayai suspek utama kes tersebut.

“Semua barang rampasan dan suspek di bawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM100,000 yang mana lebih tinggi atau RM500,000 atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.