PPM Patahkan Cubaan Seludup Minuman Keras

Minuman keras yang berjaya dirampas PPM di perairan Labuan.

Oleh NORA AHMAD
LABUAN: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mematahkan aktiviti penyudupan membabitkan minuman keras menerusi Op Benteng Covid, di perairan Labuan, semalam.

Dalam operasi kira-kira pukul 4.20 petang itu, seorang lelaki berusia 30-an turut ditahan bagi membantu siasatan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Labuan, Asisten Superintendan Mohamad Ismail berkata, dalam operasi itu pihaknya berjaya mengesan sebuah bot laju dipercayai menuju ke arah Menumbok.

“Bot disyaki membawa muatan kargo dan hasil pemeriksaan menemui sejumlah minuman keras pelbagai jenama yang cuba diseludup keluar dari Labuan.

“Seorang lelaki yang merupakan juragan bot laju itu ditahan bagi membantu siasatan atas kesalahan menyeludup barangan tanpa cukai,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Katanya lagi, nilai minuman keras yang dirampas adalah sebanyak RM8,850 termasuk cukai.

“Turut dirampas bot laju bersama enjin sangkut Yamaha 200hp yang digunakan untuk membawa barang seludup berkenaan dan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM 74,850,” katanya.

Mohamad berkata, tangkapan dan rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Labuan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat dibawah Akta Kastam 1967.

Tambahnya lagi, aktiviti penyeludupan minuman keras dan rokok sekiranya tidak dibanteras boleh menyebabkan kerajaan mengalami kerugian  dengan ketirisan nilai cukai yang besar.

“PPM sentiasa mengalu-alukan orang awam khususnya masyarakat maritim supaya sentiasa menyalurkan maklumat kepada polis bagi sama-sama membantu menjaga keamanan negara khususnya di perairan Sabah,” katanya.