PPM Labuan Gagalkan Cubaan Seludup Minuman Keras

LABUAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Persekutuan Labuan mengagalkan cubaan menyeludup keluar minuman keras di kawasan laut Mempakul, awal pagi kelmarin.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Labuan, Asisten Superintendan Saidul Maruf Rosli berkata, semasa melakukan rondaan, anggota PPM terserempak sebuah bot yang berada dalam keadaan mecurigakan.

“Semasa diarahkan untuk berhenti, pemandu bot bertindak memecut laju bot dinaiki ke kawasan cetek di persisir pantai Mempakul.

“Suspek kemudian melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran dan gagal dikesan oleh anggota.

“Pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan mendapati terdapat beberapa bungkus plastik hitam di dalam bot berkenaan. Apabila diperiksa, ia merupakan minuman keras dipercayai belum bercukai dan ingin diseludup keluar dari Labuan ke Tanah Besar Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook PPM Wilayah 4 Sabah hari ini.

Beliau berkata, kesemua minuman keras berserta bot dan dua enjin bot dirampas dan nilai rampasan keseluruhan termasuk cukai dianggarkan berjumlah RM36,605.63.

Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menyalurkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di kawasan perairan menerusi talian 24 jam PPM atau aplikasi Whatsapp PPM Sabah di talian 013-9391197.