PPDNHEP Tuaran Rampas 119 Tong LPG

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
TUARAN: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) cawangan Tuaran merampas 119 tong gas petroleum cecair (LPG) termasuk sebuah lori dengan anggaran bernilai RM39,050 yang dikesan dijual tanpa lesen sah di sekitar pekan Tuaran, semalam.

Pengarahnya, Georgie Abas berkata, semasa pemeriksaan bekalan di sekitar pekan Tuaran semalam, pasukan PPDNHEP cawangan Tuaran telah berjaya mengesan tiga kesalahan.

Katanya, antara kesalahan yang disyaki telah dilakukan oleh peniaga pertama adalah beroperasi sebagai pemborong LPG tanpa lesen borong LPG yang sah kerana lesen peniaga tersebut telah pun tamat tempoh pada 31 Mei 2019.

“Beliau juga memiliki LPG melebihi dari jumlah yang dibenarkan dalam lesen runcit barang kawalan berjadual iaitu sebanyak 19 tong LPG, kebenaran lesen peniaga tersebut adalah sebanyak 10 tong LPG sahaja.

“Pada masa yang sama, seorang lagi peniaga telah dikenakan kompaun RM2,500.00 kerana gagal meletakkan tanda harga pada LPG yang dijual,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Georgie berkata, semua kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Tambahnya, LPG merupakan salah satu daripada barang kawalan berjadual yang telah diwartakan mengikut undang-undang serta melibatkan nilai subsidi yang tinggi, justeru peniaga tidak boleh berurus niaga barang kawalan berjadual itu tanpa kebenaran pengawal bekalan.

Tegas beliau, bagi kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, mana-mana orang yang sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

“Bagi syarikat denda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 pula, individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit (RM 50,000.00) atau penjara tidak melebihi dua (2) tahun atau kedua-duanya sekali.

“Hukuman denda bagi syarikat pula ialah tidak melebihi seratus ribu ringgit (RM100,000.00),” katanya.

Katanya, semua peniaga diingatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang kerana PPDNHEP Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengambil kesempatan ke atas para pengguna.