PPD Sandakan Ungguli Bola Keranjang PSKPPS

SANDAKAN: Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sandakan berjaya memanfaatkan sepenuhnya peluang sebagai tuan rumah apabila menjuarai Kejohanan Bola Keranjang sempena Pesta Sukan dan Kebudayaan pegawai Perkhidmatan Pendidikan Sabah (PSKPPS) Kali Ke-47.

Bertempat di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Syn Hua, pasukan Sandakan berjaya menjinakkan cabaran Pejabat Pendidikan Daerah Lahad Datu dalam perlawanan akhir dengan mata jaringan 41-38.

Empat pejabat pendidikan daerah lain turut menyertai kejohanan selama tiga hari berumula 30 Oktober hingga 1 November berkenan iaitu Beaufort yang mendapat tempat ketiga, Penampang (tempat keempat), Kota Marudu (tempat kelima) dan Kudat (keenam).

Dalam ucapan penutupan ketika merasmikan kejohanan itu, guru besar sekolah, Yee Choon Mui berkata, kejohanan berkenaan perlu bagi mengeratkan hubungan antara petugas dalam sektor pendidikan negeri dan berkongsi pandangan tentang pelbagai perkara selain sukan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada para guru dan semua staf pendidikan yang terlibat terutama sekali PPD Sandakan kerana berjaya menganjurkan kejohanan bola keranjang PSKPPS kali ini dan tidak lupa juga penaja kami Life Water Sdn. Bhd.

“Semoga kejohanan ini terus mendapat sokongan semua pihak untuk kita merapatkan hubungan dan menjaga kesihatan melalui sukan,” katanya.

Sementara itu, daerah Keningau dipilih sebagai tuan rumah untuk kejohanan PSKPPS bagi tahun depan.