Potensi Pelaburan Di Sabah Harap Tarik Pelabur China, Shafie Apdal

69
Menteri Industri dan Teknologi Maklumat China, Miao Wei, kiri, bersama dengan Datuk Shafie Apdal.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Pertemuan syarikat dari Sabah dengan pelabur China yang akan diadakan pada Jumaat dijangka membuka lebih banyak peluang pelaburan di negeri ini.

Dengan itu, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berharap pelabur China akan turut melihat potensi pelaburan dalam pembangunan infrastruktur seperti pelabuhan, landasan keretapi dan empangan.

Beliau berharap, rombongan Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China yang berkunjung ke Sabah ini dapat memaklumkan kepada pelabur mengenai projek pembangunan infrastruktur sebegitu.

Beliau juga berharap kementerian itu dapat membuka ruang kepada orang Sabah bagi menjalani latihan di Huawei China bagi membolehkan teknologi yang digunapakai di China itu dimanfaatkan di Malaysia.

Liang Caide, Miao Wei, Datuk Shafie Apdal dan Datuk Darell Leiking.

Mohd Shafie berkata, ketika mengadakan lawatan ke Shenzhen, Kerajaan Sabah telah memeterai Perjanjian Persefahaman bagi membekalkan makanan laut.

Selain itu, terdapat juga pelabur China yang berminat melabur dalam industri hartanah, pembuatan kaca dan perabot di Sabah. Mereka kelihatan serius untuk membangunkan industri pembuatan di Sabah.

Dalam pada itu, beliau juga ingin bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi Huawei China bagi membangunkan teknologi 5G di Malaysia.

“Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan perkara itu. Pengumuman mengenai teknologi 5G ini dilakukan Perdana Menteri ketika mengadakan lawatan kerja ke Jepun,” katanya semasa menerima Kunjungan Hormat Menteri Industri dan Teknologi Maklumat China, Miao Wei di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini pada Khamis.

Miao berkata, pelaburan melibatkan landasan keretapi dan empangan itu akan dimajukan kepada jabatan dan agensi berkaitan apabila beliau kembali ke China semula.

“Saya akan bawa perkara ini kepada jabatan berkaitan agar lebih banyak agensi dapat dilibatkan.

“Mengenai komunikasi pula, Huawei di Kuala Lumpur bekerja keras untuk menyumbang kembali kepada masyarakat Malaysia termasuk Sabah,” katanya.

Miao berkata, China dan Malaysia mempunyai hubungan yang baik dalam sektor perdagangan. Sejak 10 tahun lalu, Malaysia merupakan rakan dagangan terbesar bagi China.

Mengenai pelaburan dalam sektor pembuatan pula, beliau berkata, pelaburan dalam sektor pembuatan menunjukkan peningkatan empat kali ganda bagi tempoh 2013-2018.

Sehingga penghujung 2018, sebanyak 422 projek pelaburan dalam sektor pembuatan dilakukan oleh China di Malaysia dan ia menawarkan 730,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Katanya, beliau akan mengadakan perbincangan meja bulat bersama lebih 20 syarikat Malaysia dari Sabah dengan pelabur China pada Jumaat.

Turut hadir adalah Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu Liang Caide.