Pos Imigresen Perlu Diwujudkan Di Menumbok

Honorsius

Oleh SURAYA SHANAZ
PENAMPANG: Pemimpin Parti Warisan Sabah (WARISAN) hari ini menuntut Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewujudkan pos imigresen di Menumbok, dengan segera.

Ini susulan dakwaan oleh ramai pihak bahawa ia menjadi pintu masuk yang mudah oleh warga asing tanpa memiliki dokumen perjalanan yang dicop atau yang disahkan untuk masuk ke negeri ini.

Ahli Majlis Tertinggi (AMT) WARISAN, Datuk Honorsius Joe Bosuin, berkata pos imigresen di Menumbok adalah penting untuk diwujudkan.

Ini kerana ‘Labuan-Menumbok Loophole’ telah menjadi masalah sejak sekian lama dan mungkin sebab itu jugalah mengapa bilangan warga Pakistan di Sabah meningkat hingga tahap menghairankan.

“Malah pada tahun 2013, bekas Ketua Hakim Sabah-Sarawak, Tan Sri Richard Malanjun permah bertanya apakah semua warga Pakistan di Sabah memiliki dokumen perjalanan atau pasport yang sah.

“Ketika PH masih menjadi kerajaan Persekutuan pada 2018 dan tahun lalu, telah ada perbincangan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk mewujudkan pos imigresen, tapi malangnya ia tidak berlaku kerana PN telah mengambil alih kerajaan pada tahun ini,” katanya menerusi kenyataannya di sini.

Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking telah membawa isu ini yang gagal dibincangkan, berulang kali di Parlimen sebagai wakil rakyat pembangkang di Dewan Rakyat pada 2013, selain kenyataan media di akhbar tempatan.

Mengulas lanjut, Honorsius yang juga Pengerusi Koperasi  Pembangunan Desa (KPD), berkata oleh kerana berlaku perubahan kerajaan Persekutuan, Darell wajib mengetahui sama ada kerajaan PN akan menubuhkan pos imigresen secepat mungkin.

“Bagaimanapun, saya amat kecewa

apabila mengetahui KDN dalam jawapan bertulisnya semalam, hanya menyatakan bahawa mereka akan mengkaji cadangan berkenaan, apabila sepatutnya isu itu perlu difahami kerana secara asasnya ia berkaitan dengan kedaulatan dan keselamatan negeri.

“Jika pendatang asing tanpa izin ‘kolar biru’ masuk ke Sabah melalui jalan tikus, maka puluhan ribu ‘kolar putih’ rakyat asing membabitkan warga Pakistan dan China boleh memasuki Sabah menerusi Labuan-Menumbok, tanpa memerlukan visa mereka dicop,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Sabah perlu tahu apabila lima warga Pakistan didakwa kerana memiliki pas perjalanan palsu pada 2013, seorang daripada mereka bernama Ibrar Khan Ibrahim Khan, ketika prosiding mengakui di hadapan Malanjun bahawa dia maksudkan keluar dari Sabah melalui Labuan-Menumbok

“Ini jelas menunjukkan kepada kita betapa seriusnya ‘Labuan-Menumbuk Loophole’. yang terbuka untuk dieksploitasi oleh ratusan ribu orang bukan rakyat Sabah, yang kita tidak tahu sama ada mereka memiliki dokumen perjalanan yang tulin atau palsu,” katanya.

Oleh kerana kerajaan PH tidak dapat melaksanakan permintaan Mohd Shafie untuk mewujudkan pusat pemeriksaan imigresen dan visa untuk pengesahan masuk ke Sabah dari Labuan, Honorsius melontarkan cabaran itu kepada Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan menteri Persekutuan lain dari Sabah, untuk mempercepatkan penubuhan pos imigresen itu.

“Ini kerana mereka menyokong PN disebabkan oleh Sabah…jadi gunakanlah pengaruh politik mereka untuk mempercepatkan pembinaan pos imigresen itu.

Pada masa sama katanya, Jeffrey perlu meminta kepada Menteri Dalam Negeri untuk penarikan Pekeliling/Warta Imigresen Persekutuan bertarikh 27 Julai 1984 yang membenarkan kemasukan tanpa dokumen oleh sesiapa yang melakukan perjalanan dari Labuan ke Sabah.