Politik Perlu Dikuasai Semula Oleh Rakyat, Bukan Golongan Elit – Ewon

PENAMPANG: Naib Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (Upko), Datuk Ewon Benedick menyatakan bahawa politik di negara ini perlu dikuasai semula oleh rakyat, bukannya golongan elit.

Beliau berkata, kecelaruan pentadbiran kerajaan hari ini berpunca daripada pencaturan politik golongan elit politik yang sudah sekian lama berada dalam arena kepimpinan tetapi tidak lagi mendengar denyutan nadi rakyat.

“Sudah tiba masanya politik negara ini dikuasai semula oleh rakyat sepertimana mereka menuntut kemerdekaan dan menubuh persekutuan Malaysia. Kepimpinan ketika itu datang terus daripada rakyat. Hari ini mereka yang sudah menjadi golongan elit menguasai pencaturan politik semata-mata kerana mahu mengekalkan kedudukan mereka.

“Kita tidak mahu lagi hanya sekumpulan ahli politik tertentu sahaja yang mencaturkan kepimpinan negara. Kita mahu rakyat bangkit dan membuat tuntutan, seterusnya keputusan semasa pilihanraya. Kita tidak mahu lagi politik ini menjadi warisan keluarga, tetapi seharusnya menjadi warisan rakyat,” katanya.

Mengenai peranan Upko, beliau menjelaskan partinya sama seperti parti-parti lain mempunyai matlamat perjuangan antara lainnya ialah memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Upko perlu memberi keseimbangan sebagai parti berorientasikan pembangunan dasar-dasar (policy making oriented party) dan parti yang berorienrasikan perkhidmatan rakyat akar umbi (grassroot service oriented party).

“Pada saat ketika kita berhadapan dengan krisis kesihatan berikutan pandemik Covid-19, maka kita perlu bekerjasama dengan semua pihak. Kita boleh mainkan peranan semak dan imbang secara berkesan tetapi dalam masa yang sama berkerjasama dengan pihak lain termasuk pihak Kerajaan untuk memastikan rakyat terbela semasa menghadapi krisis ini.

“Selain bantuan segera seperti program bakul makanan, kita boleh bekerjasama dengan pihak Kerajaan bagaimana kempen vaksinasi ini boleh dijayakan dengan menggerakkan jentera parti berkempen mengenai manfaat vaksin. Ini antara yang kita boleh laksanakan,” katanya.

Menurut beliau, ratusan ribu rakyat yang terjejas pendapatan, pengajian pendidikan dan menghadapi tekanan hidup perlu dibela melalui usaha semua pihak yang hanya boleh dilaksanakan melalui kerjasama.

“Justeru, Upko boleh menerokai kerjasama ini bermula dengan mengenalpasti rakyat yang memilih menjadi ahli parti Upko dan memerlukan pembelaan. Ini boleh menjadi asas kerjasama kepada cadangan Confidence dan Supply Agreement (CSA) kita dengan pihak Kerajaan,” katanya.

Ewon turut menyatakan pandangan bahawa ramai pemimpin dalam mana-mana parti ingin menjadi sebahagian daripada urustadbir Kerajaan tetapi jarang yang mahu menjadi sebahagian daripada perkhidmatan kepada rakyat.

“Sejak menyertai kepimpinan parti pada tahun 2005, saya mengamati ramai yang mahu menjadi Kerajaan kerana mereka merasakan akan mempunyai akses kepada banyak kemudahan. Tetapi sangat jarang yang mahu menjadi berkhidmat kepada rakyat kerana motivasi mereka yang berlainan. Itu sebabnya pada saya, ada hikmah di sebalik Upko berada di luar Kerajaan buat masa ini.

“Sejak penubuhan parti, kita sentiasa berada dalam Kerajaan. Bila kita berada di luar Kerajaan, maka cabaran kepimpinan sangat besar, tetapi kita boleh mengetahui keperibadian seseorang itu berdasarkan kecekalan menghadapi cabaran tersebut,” katanya.

Mengenai tips bagaimana beliau boleh mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian dalam pilihanraya umum negeri tahun lepas, beliau menjelaskan bahawa dedikasi kepimpinan berorientasikan wawasan rakyat merupakan pendekatan beliau selama berkepimpinan di Kadamaian.

“Saya banyak belajar kepimpinan Upko, dari Tan Sri Bernard kepada Datuk Madius, dari Majlis Tertinggi kepada rakan-rakan saya dalam Pergerakan Komulakan dahulu. Kepimpinan saya tidak sempurna, sebab itu saya akan terus belajar dan memperbaiki diri.

“Namun, sejak menjadi Adun Kadamaian pada tahun 2018, saya jadikan wawasan rakyat Kadamaian sebagai wawasan saya. Sebab itu saya cetuskan Pelan Induk Pembangunan Kadamaian, 2020-2035 di mana kajian selama enam bulan dijalankan oleh Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah, Pusat Khidmat Adun Kadamaian dan Pejabat UPPM Kadamaian pada tahun 2019. Mereka menjelajah ke seluruh pelusuk Kadamaian, bertemu dengan penduduk di 74 buah kampung.

“Kajian tersebut merupakan dokumentasi wawasan pembangunan oleh rakyat Kadamaian, dan saya angkat menjadi tanggungjawab dan amanah sebagai Adun. Bila kita angkat wawasan rakyat seperti ini, maka nyatalah bahawa kita di Upko ini boleh menjadi peneraju kepada perjuangan rakyat,” katanya.

Selain Ewon, turut menjadi panel webinar tersebut ialah Timbalan Presiden Upko, Datuk Donald Mojuntin dan Ketua Wanita Upko Kinabatangan, Mohina Sindom.