Politeknik Sandakan Semakin Berjaya

Oleh TERTIA JACOB
SANDAKAN: Politeknik Sandakan Sabah (PSS) menandatangani perjanjian dengan Scania Asia Tenggara menerusi ‘Scania Ecolution Partnership’ untuk menyertai program global Scania dalam mengurangkan kesan pelepasan karbon dioksida (CO2) terhadap alam sekitar.

PSS diwakili pengarahnya, Tajul Ariffin Mohamed Arif, manakala Scania diwakili Pengarah Pra Jualan Scania Asia Tenggara, Tom Kuiphuis menerusi majlis menandatangani perjanjian di Kampus PSS, di hab pendidikan Sungai Batang, semalam.

Ketika berucap, Tajul berkata, PSS memilih menawarkan dua bidang iaitu Diploma Teknologi Agro dan Diploma Akuakultur di kampus itu kerana ia berkait rapat dengan alam sekitar, selari Pelan Strategik PSS 2019-2023 untuk mengubah semula kompleks kampus yang sedia ada sebagai Kampus Hijau menjelang 2023.

Katanya, PSS percaya dengan mengikuti program Scania Ecolution, secara tidak langsung akan dapat membantu Objektif Hijau iaitu mengurangkan impak ke atas alam sekitar dengan pelepasan CO2 yang rendah.

“Kita gembira kerana diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada program global Scania yang telah banyak mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.

“Program ini bukan hanya dapat mengurangkan kos operasi PSS, malah mengurangkan tapak karbon dengan pelepasan CO2 yang rendah melalui penggunaan bahan bakar yang rendah,” katanya.

PSS ditubuhkan pada 2008 dan merupakan Politeknik kedua di Sabah.

Tajul berkata, pembelian bas Scania itu juga adalah pelaburan berbaloi kepada PSS dan menjanjikan sistem pengangkutan yang lebih baik untuk pelajar PSS yang kini mencecah hampir 1,000 orang.

Sementara itu, Kuiphuis berkata, Scania telah lama memperkenalkan penyelesaian pengangkutan yang mampan, terutama dalam mengurangkan pelepasan CO2 dan majlis berkenaan adalah bukti usaha Scania ke arah komitmen 2050 untuk mensifarkan tapak karbon.