Polis Tembak Mati Penjenayah Dikehendaki

SEMPORNA: Tindakan agresif seorang penjenayah yang cuba menyerang polis membawa padah apabila polis terpaksa menembak mati suspek dalam kejadian di sebuah rumah atas air di Kampung Panji Laut, di sini semalam.

Dalam kejadian pada 9.30 malam itu, polis melepaskan empat das tembakan apabila suspek cuba bertindak agresif hendak menyerang polis menggunakan sebilang parang panjang.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, dalam serbuan yang dilakukan di sebuah bilik di rumah tersebut suspek, Jamalsalih Kaldo, 40, cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis.

Beliau berkata, suspek yang berada dalam senarai penjenayah dikehendaki ini kemudian meluru ke hadapan dengan sebilah parang untuk menyerang anggota polis.

“Dengan itu, satu das tembakan dilepaskan dan terkena paha sebelah kanan. Namun, suspek masih bertindak agresif dan mara ke hadapan sambil melibaskan parang. Selepas itu, polis terpaksa melepaskan tiga lagi das tembakan yang terkena pada bahagian tengah perut, perut kiri dan rusuk kanan sehingga suspek rebah ke atas lantai.

“Semasa suspek rebah, dia sempat mengambil lastik panah tetapi, pasukan serbuan berjaya mengawal situasi dan terus bertindak menahan suspek,” katanya dalam sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna, di sini hari ini.

Kemudian suspek dihantar ke Hospital Semporna dan disahkan meninggal dunia pukul 12.40 tengah malam.

Katanya, suspek dipercayai terlibat dengan sembilan kejadian pecah rumah dan curi sekitar daerah ini sejak tahun lalu.

Siasatan selanjutnya mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau sejak 2008 dan pernah dipenjara beberapa tahun termasuk satu kes serangan ke atas polis menggunakan parang pada tahun 2013.

Sehingga kini polis masih menunggu ujian saringan Covid-19 sebelum bedah siasat dilakukan bagi mengetahui punca sebenar kematian suspek.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.