Polis Tembak Mati Dua Penjenayah Dipercayai Abu Sayyaf

Omar Mammah menunjukkan gambar saspek dipercayai Abu Sayyaf yang ditembak mati polis.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Polis menembak mati dua penjenayah dipercayai warga Filipina dalam insiden berbalas tembakan di perairan Sahabat Lahad Datu di Lahad Datu semalam.

Kedua-dua suspek berusia antara 30 hingga 40 tahun itu maut di tempat kejadian ketika cuba membolosi sempadan negara menggunakan bot.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, terdahulu ketika kejadian, sepasukan anggota polis berjaya mengesan dua bot pam yang berada dalam keadaan mencurigakan di perairan berkenaan.

Bot pam yang digunakan suspek yang maut ditembak polis di perairan Sahabat Lahad Datu malam tadi.

Katanya, polis telah mengejar kedua-dua bot berkenaan sehingga ke lokasi dan meminta mereka menyerah diri kepada pihak berkuasa tetapi bertindak melepaskan tembakan.

“Semasa membuat pintasan dalam keadaan lampu biru polis dinyalakan dan siren dibunyikan, suspek telah melepaskan tembakan ke arah bot pasukan keselamatan.

“Bagi tujuan mempertahankan diri, anggota kami telah melepaskan beberapa tembakan balas manakala salah satu bot suspek telah melarikan diri ke perairan Filipina,” katanya.

Senjata api yang dibawa oleh suspek menunjukkan mereka bukan nelayan, kemungkinan ahli kumpulan Abu Sayyaf.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah hari ini.

Omar berkata, hasil pemeriksaan polis kemudiannya berjaya menemukan dua mayat lelaki dengan salah seorangnya terapung di laut manakala seorang lagi berada di dalam bot pam.

Turut ditemukan ialah beberapa barangan seperti selaras senjata grand rifle, dua butir peluru dan seunit kelopak peluru.

Sementara itu ditanya sama ada suspek yang ditembak mati mempunyai kaitan dengan rangkaian pengganas Abu Sayyaf, beliau berkata perkara tersebut masih dalam siasatan polis.

Saspek yang ditembak mati.

“Kalau nelayan dia tidak akan bawa senjata, kalau penyeludupan tidak ada barang dia seludup.

“Kemungkinan sama ada mereka ini adalah peninjau, cuba mengesan mangsa-mangsa untuk diculik ataupun militan, cuba melakukan tindakan keganasan, ada beberapa kemungkinan yang masih kita siasat,” katanya.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.