Polis Tegas Arah Pengguna Tanpa Alasan Penting Untuk Balik Rumah

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PENAMPANG: Memasuki hari kelima Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan semalam, pasukan polis lebih tegas dalam meminta orang ramai yang tidak mempunyai alasan penting supaya berpatah balik ke rumah masing-masing.

Pesuruhjaya Polis Sabah,  Datuk Zaini Jass berkata, ketegasan dalam pemantauan semasa sekatan jalan raya (SJR) penting agar rakyat tahu bahawa pihak berkuasa amat serius memastikan PKP dipatuhi bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

“Kita mahu setiap kali mereka hendak ke luar rumah, mereka akan berfikir banyak kali. Sekiranya alasan yang diberikan tidak kukuh, kita akan minta mereka supaya berpatah balik ke rumah.

“Dalam sekatan tadi, ada antara mereka memberi alasan ingin mengambil isteri yang bertugas di hospital.

“Kita maklumkan kepadanya bahawa kita beri peluang tapi esok, dia kena cari cara lain untuk uruskan pengangkutan isteri. Berkemungkinan isteri boleh berkongsi kereta dengan rakan sekerja lain.

“Kita mahu pematuhan PKP ini dilakukan secara serius agar peratus pematuhan dapat dipertingkatkan,” katanya semasa sidang media selepas meninjau sekatan jalan raya (SJR) dan pemantauan premis-premis sekitar Penampang, di sini semalam.

Zaini berkata, , hari demi hari didapati tahap pematuhan PKP dan kesedaran orang ramai semakin baik.

Sehingga kini, pematuhan PKP sudah mencapai 90 peratus dan beliau mahu peratusan itu terus dipertingkatkan dengan adanya kerjasama orang ramai.

Buat masa ini, pihak berkuasa masih memberi nasihat kepada orang ramai dan sekiranya ada yang ingkar dan berkeras dengan pematuhan PKP, pasukan polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan.

Katanya, bermula semalam, penugasan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digerakkan dalam membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan tugas pemantauan sepanjang PKP berkuatkuasa sehingga 31 Mac ini.

Zaini berkata, setakat semalam seramai 466 anggota tentera telah melapor diri di beberapa daerah di Sabah kecuali di Keningau, Tenom dan Kota Marudu. Untuk tiga daerah itu masih belum ada penugasan tentera ditempatkan.