Polis Tahan Lelaki Curi Barangan Restoran Makanan Segera

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Ketika orang duduk rumah mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lain pula ceritanya bagi seorang lelaki yang bertindak memecah masuk restoran makanan segera di Plaza Juta, Likas.

Suspek berusia 21 tahun itu berjaya melarikan barangan bernilai RM 14,581.80 yang dicuri dari premis berkenaan.

Namun, belum sempat menjual kesemua barangan tersebut, suspek berkenaan berjaya ditahan polis di rumahnya, di Kampung (Kg) Bakau, Likas, pada 7.30 pagi, Ahad.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, berdasarkan siasatan awal, pengurus restoran menyedari kejadian tersebut apabila melihat pintu kaca bahagian hadapan restoran pecah, pada 2 April lalu.

Pemeriksaan lanjut mendapati, pengadu memaklumkan beberapa aset restoran hilang dipercayai dicuri termasuk telefon, televisyen, dua mesin juruwang dan sebuah motosikal milik syarikat tersebut. Kesemua barangan itu dianggarkan bernilai RM14,581.80.

Menurutnya, laporan polis telah dibuat oleh pengadu pada 2 April dan hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu, polis berjaya menjejaki dan seterusnya menahan suspek dirumahnya, di Kg Bakau, Likas pada Ahad.

“Setelah disoal siasat, suspek membawa barangan yang dicuri termasuk motosikal, televisyen dan beberapa peralatan yang digunakan untuk mencuri,” katanya semasa Sidang Media, di IPD Kota Kinabalu, di sini hari ini.

Habibi berkata, modus operandi suspek adalah dengan memecahkan pintu dan dinding kaca sebelum memasuki premis tersebut untuk mencuri beberapa barangan.

Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai jenayah lampau terbabit jenayah narkotik dan jenayah pencerobohan.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 379A/Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, Habibi berkata, 16 kertas siasatan telah dibuka berkaitan pelanggaran PKP sejak 18 Mac lalu. Kesemua 16 individu termasuk seorang wanita telah dibawa ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman.

Semua kertas siasatan itu disiasat mengikut Seksyen 22 Akta Pencegahan & Kawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988 dan Seksyen 26 (3) Akta Polis.