Polis Tahan Lelaki Bawa Parang Kayu Dalam Himpunan Solidariti

518

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KIMANIS: ‘Perhimpunan Solidariti untuk Menolak PSS’ berjalan lancar dan terkawal tanpa sebarang kejadian tidak diingini kecuali penahanan seorang lelaki yang difahamkan membawa parang kayu.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superitendan Azmir Abd Razak berkata, penahanan lelaki yang membawa parang kayu itu dibuat bagi membantu siasatan.

“Lelaki warga tempatan ini dikatakan akan membuat persembahan. Namun, lelaki itu terpaksa ditahan untuk siasatan lanjut, dikhuatiri ada niat disebaliknya,” katanya semasa sidang media selepas berakhirnya ‘Perhimpunan Solidariti untuk Menolak PSS’, di Pekan Lama Membakut, di sini hari ini.

Perhimpunan Solidariti itu dianjurkan oleh Pertubuhan Peningkatkan Pendidikan Rakyat Sabah (Pipa) dan Solidariti Rakyat Sabah (Sorak). Ia turut dihadiri beberapa pemimpin pembangkang termasuk bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Azmir berkata, penganjuran perhimpunan itu berjalan dengan baik kerana penganjur mengikut arahan polis untuk bersurai mengikut masa yang ditetapkan.

Ditanya mengenai perkembangan kesalahan pilihan raya setakat hari ini, beliau berkata, sebanyak lapan kertas siasatan telah dibuka membabitkan 14 laporan polis.

“Kesalahan-kesalahan pilihan raya ini melibatkan kedua-dua parti (Parti Warisan Sabah & Barisan Nasional). Kita akan menjalankan siasatan berdasarkan laporan polis yang dibuat. Kedua-dua pihak akan disiasat,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang dilaporkan membabitkan tindakan memusnahkan poster, satu kes membabitkan sogokan dan satu kes melibatkan kata-kata menghasut.

Manakala, satu kes lagi membabitkan perbuatan khianat yang akan disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.