Polis Tahan Lebih 100 Orang Cuba Seludup Masuk Sabah

HAZANI GHAZALI

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PAPAR: Pasukan polis Sabah berjaya mematahkan cubaan rakyat dari negara jiran menyeludup masuk ke Sabah melalui perairan Sandakan dua hari lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, cubaan lebih 100 orang rakyat yang dipercayai mempunyai dwi-kerakyatan itu berjaya dikesan apabila pasukan keselamatan berjaya menahan dua jongkong dan dua bot laju ketika cuba masuk ke perairan Sandakan.

“Saya dimaklumkan oleh pasukan risikan, mereka ini balik untuk mengundi tapi kita terpaksa halang kemasukan mereka kerana masuk bukan melalui jalan yang sah.

“Bukan hendak menafikan dan menghalang mereka untuk mengundi tapi mereka balik ke sana bukan melalui jalan yang sah dan mereka masuk ke sini juga bukan dari jalan yang sah,” katanya ketika mengulas mengenai cubaan masuk ke Sabah sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.

Beliau berkata demikian semasa sidang media, di Ibu Pejabat Polis Papar, hari ini.

Hazani berkata, pasukan keselamatan terpaksa menghalang mereka ini masuk bagi mengelakkan jangkitan wabak Covid-19 merebak dalam kalangan rakyat Sabah.

Katanya, mereka ini dipercayai mempunyai dwi-kerakyatan.

Jika hendak masuk ke Sabah mereka kena masuk dengan cara yang sah dan menjalani pemeriksaan kesihatan.

Dalam mengawal sempadan Sabah melalui Op Benteng, pasukan keselamatan telah menempatkan 1,890 pegawai dan anggota daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) bagi mengawal sempadan perairan dan juga darat.